Sunday, December 22, 2024
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Qualcomm lancar platform mudah alih pertama dengan CPU terpantas dunia

    MAUI, 22 OKT – Pengeluar cip terkemuka Amerika Syarikat (AS) Qualcomm kelmarin melancarkan Platform Mudah Alih, Snapdragon pertamanya yang menampilkan CPU mudah alih terpantas di dunia.

    Platform dengan nama Snapdragon 8 Elite itu dilancarkan pada sidang kemuncak teknologi tahunan Qualcomm di Maui, Hawaii AS.

    Platform ini memperkasakan era baharu kecerdasan buatan (AI) generatif pada peranti, dibina untuk mengendalikan kerumitan AI multi-modal dengan lancar sambil mengutamakan privasi.

    Snapdragon 8 Elite yang menampilkan CPU Oryon generasi seterusnya ialah sistem mudah alih yang paling berkuasa dan terpantas di dunia, menurut Qualcomm.

    Platform ini memberikan prestasi yang lebih baik dan kecekapan kuasa secara menyeluruh dan mengubah pengalaman pada peranti dengan sokongan AI generatif multimodal, fotografi AI yang ditakrifkan semula, permainan dan audio berkualiti studio dengan semuanya disokong oleh ketersambungan yang dipertingkatkan AI.

    Awal tahun ini, Qualcomm memperkenalkan CPU Oryon dalam komputer peribadi (PC).

    “Kami sangat teruja untuk membawa kuasa Qualcomm Oryon ke platform mudah alih Snapdragon kami buat kali pertama,” kata Chris Patrick, naib presiden kanan dan pengurus besar telefon bimbit mudah alih, Qualcomm Technologies, Inc.

    “Ia adalah satu lonjakan yang besar dan kami jangka pengguna akan teruja dengan pengalaman baharu yang dikuasakan oleh teknologi CPU kami,” katanya.

    CPU Qualcomm Oryon yang pertama dalam platform mudah alih itu memberikan peningkatan prestasi sebanyak 45 peratus, kecekapan kuasa 44 peratus lebih besar dan cache data kongsi terbesar industri mudah alih, menurut Qualcomm.

    Sidang kemuncak teknologi dengan nama Snapdragon Summit itu berlangsung kelmarin hingga esok, di mana syarikat itu melancarkan platform generasi akan datang dan mempamerkan teknologi inovatif yang akan menggerakkan peranti pengguna dan juga kereta. – Xinhua

    CEO Qualcomm, Cristiano Amon memperkenalkan Snapdragon 8 Elite pada sidang kemuncak teknologi tahunan Qualcomm di Maui, Hawaii, AS kelmarin. – Xinhua
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda