Quartararo, Morbidelli, teruja musim MotoGP kembali

KUALA LUMPUR, 17 JUN – Pasangan pelumba Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo kini amat teruja menunggu untuk kembali berlumba dalam Kejohanan MotoGP bulan hadapan, selepas ia ditangguhkan akibat pandemik COVID-19.

Quartararo menjelaskan yang beliau amat gembira dengan pengumuman oleh Dorna Sports selaku pemegang hak eksklusif komersial dan televisyen MotoGP, dan juga Persatuan Pasukan Perlumba Antarabangsa (IRTA) berkaitan jadual baru kalendar MotoGP yang akan menyaksikan 16 perlumbaan diadakan termasuk MotoGP Malaysia pada November.

“Ia satu kalendar yang berlainan, yang boleh dijalankan dalam situasi luar biasa ini. Kami akan hadapi perlumbaan berturut-turut di litar yang sama dan jumlah GP yang kurang, tetapi saya rasa apa yang lebih penting ialah untuk menamatkan perlumbaan dan hadapi satu-satu perlumbaan dahulu,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pasukannya, hari ini. – Bernama