Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Que Haidar biarkan gambar digunakan tanpa kebenaran untuk promosi

    Tindakan pelakon Que Haidar yang memilih untuk membantu seorang usahawan kecil selepas foto peribadi digunakan tanpa kebenaran menerima pujian ramai.

    Que atau nama sebenarnya Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, 46, berkata pada awalnya dia agak terkilan apabila mendapati gambarnya digunakan untuk mempromosikan produk tanpa izin.

    “Saya nampak di Instagram, ada orang tag saya tentang kopiah kait. Dia guna gambar saya untuk promosikan kopiah tu. Mula-mula hati saya cakap, mana boleh macam ini. Tak minta izin pun ambil gambar saya,” katanya menerusi siaran langsung di TikTok.

    Enggan menjadikan isu tersebut sebagai masalah besar, Que  bagaimanapun melihat perkara itu daripada sudut positif dengan membantu mempromosikan produk berkenaan secara percuma.

    “Tapi satu lagi hati saya cakap, mungkin dia susah dan buat sendiri. Untung pun tak banyak, jadi saya terus tolong promosikan di Instagram saya. Mungkin juga dia ibu tunggal, mana tahu kalau boleh bantu dia sikit,” ujarnya lagi.

    Tindakan murni Que itu mendapat pujian warganet yang menyifatkannya sebagai seorang artis yang berhati mulia dan tidak cepat melatah.

    Sementara itu, usahawan berkenaan tampil memohon maaf kepada Que kerana menggunakan fotonya tanpa kebenaran.

    Jelasnya, dia tidak berniat meniru atau mengambil kesempatan, sebaliknya teruja apabila melihat rekaan kopiah yang mirip dengan hasil tangannya sendiri.

    “Maaf Que, saya tak minta izin guna gambar. Sebenarnya saya baru belajar kait dan buat untuk adik serta kawan-kawan. Saya ternampak gambar Que pakai kopiah yang sama rekaan, jadi saya edit dan post di InstaStory. Terima kasih Que atas niat baik dan sokongan. Ya, kait sendiri memang tak banyak untung,” jelasnya. – Agensi

    Kopiah Que juga jadi perhatian ramai. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda