Queiroz jurulatih baharu Mesir

KAHERAH, 9 SEPT – Carlos Queiroz (gambar) dilantik menjadi jurulatih baharu Mesir berikutan pemecatan Hossam El Badry selepas prestasi kurang meyakinkan pada kelayakan Piala Dunia 2022.

Persekutuan Bolasepak Mesir berkata, Queiroz, bekas penolong jurulatih Manchester United dan pengurus Real Madrid akan dibantu oleh Diaa El Sayed dan bekas penjaga gol, Essam El Hadary.

Ia adalah tugas terbaharu pengurus berusia 68 tahun itu di peringkat antarabangsa selepas membimbi-ng Portugal di Piala Dunia 2010 dan juga Iran di kejohanan yang sama pada 2014 serta 2018.

Pengurus kelahiran Portugal itu akan mengambil alih tugas Hossam, yang dipecat Isnin lalu selepas seri 1-1 menentang Gabon.

Mesir bergelut ketika berdepan Gabon, di mana mereka perlu menunggu sehingga minit ke-90 untuk mencari gol penyamaan dan hanya menang 1-0 ketika aksi pembukaan kelayakan Piala Dunia sekali gus mengundang kritikan daripada penyokong di media sosial.

Mereka akan berdepan Libya Oktober depan, dengan hanya juara kumpulan akan layak pusingan akhir kelayakan.

Queiroz dijangka tiba di Kaherah minggu depan selepas meninggalkan tugasnya sebagai pengendali Colombia tahun lalu sebaik tumpas 1-6 kepada Ecuador.

Bekas pembantu kepada Alex Ferguson di United itu, pernah membimbing Afrika Selatan dan juga Emiriah Arab Bersatu (UAE). – AFP