SAO PAULO, 30 JUN – Jurulatih Colombia, Carlos Queiroz memberikan komen positif terhadap penyingkiran Colombia dari Copa Amerika menerusi penentuan sepakan penalti kepada juara Chile.
Colombia tidak melepaskan sebarang gol dalam empat perlawanan di Brazil, meskipun Chile mempunyai dua gol yang dibatalkan oleh VAR di Sao Paulo, namun masih tersingkir pada peringkat suku akhir.
“Penalti adalah satu cara sukar untuk meninggalkan kejohanan, tetapi saya fikir perlawanan-perlawanan yang kami berakhir menunjukkan petanda bagus dari segi perkembangan, peningkatan, jaminan,” kata jurulatih berusia 66 tahun itu.
“Saya mahu mengucapkan tahniah kepada para pemain Chile, tetapi saya mahu memberikan tahniah besar saya kepada para pemain kami, yang bergelut, bekerja keras dengan penuh azam dan kepercayaan untuk mencapai kemenangan.”
Queiroz, yang baru mengambil alih Colombia pada Februari, merasakan pasukannya lebih dominan tetapi kekurangan sentuhan di depan gawang.
“Kami menggerakkan semua pemain penyerang namun sekali lagi nasib tidak menyebelahi kami,” katanya.
“Satu-satunya orang yang bertanggungjawab atas kegagalan kami untuk mara adalah saya, bukan orang lain.”
Jurulatih Chile, Reinaldo Rueda berkata kemenangan itu adalah satu langkah ke hadapan menuju matlamat lebih besar iaitu mara ke Piala Dunia 2022 di Qatar. – AFP
