MIAMI, 31 DIS – Pemain Amerika Syarikat, Sam Querrey diletak dalam tempoh pemerhatian selama enam bulan dan penggantungan serta denda sebanyak AS$20,000 kelmarin oleh Jelajah ATP kerana melanggar protokol keselamatan COVID-19 di Terbuka St. Petersburg 2020.
Jelajah berkata mereka telah selesai menjalankan siasatan ke atas pemain nombor 53 dunia mengenai tindakan Querrey pada Oktober lalu, apabila dia meninggalkan Rusia menaiki pesawat peribadi dan sepatutnya kekal berada dalam kuarantin selepas diuji positif dijangkiti COVID-19.
ATP ‘merumuskan tindakan Querrey bertentangan dengan integriti perlawanan di bawah peruntukan Kesalahan Utama Pemain dalam Tata Kelakuan ATP’.
Ia merupakan sebab-sebab jelajah mengenakan denda kepada Querrey tetapi dia boleh terlepas dari hukuman membayar denda sekiranya mengelak dari melakukan lebih banyak pelanggaran peraturan semasa tempoh pemerhatian.
“Mengambil kira tingkah laku Querrey yang baik selama beberapa tahun dengan ATP dan faktor yang boleh dielakkan, hukuman denda akan digantungkan dan akan dibatalkan tertakluk kepada tingkah laku Querrey untuk tidak membuat sebarang pelanggaran peraturan protokol kesihatan dan ke-selamatan berhubung dengan COVID-19 dalam tempoh pemerhatian selama enam bulan,” jelas Jelajah.
Querrey, 33, diberi masa selama lima hari untuk mengemukakan rayuan.
Dia meninggalkan St. Petersburg bersama isterinya, Abby serta anak mereka berusia sembilan bulan, Ford, selepas dikeluarkan dari acara apabila disahkan positif pada 11 Oktober dan selepas disahkan negatif empat hari lalu. – AFP
