Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Quesadilla kudapan lazat ala Mexico

    Oleh Hajib Sarhan –

    Quesadilla merupakan sajian mudah disediakan berasal dari Mexico yang menggabungkan kepingan tortilla rangup dengan inti ayam berperisa dan keju leleh melimpah.

    Resipi ini sangat sesuai dijadikan makan malam keluarga atau kudapan santai, kerana awda hanya perlu beberapa bahan asas tetapi hasilnya tetap memuaskan.

    CARA PENYEDIAAN:

    Mulakan dengan memanaskan sedikit minyak di dalam kuali. Tumis bawang besar dan lada benggala hingga layu dan naik aroma.

    Masukkan ayam yang telah dipotong dadu bersama serbuk cili, jintan manis, oregano, garam dan lada hitam.

    Masak ayam sehingga hampir masak dan serap rempah. Seterusnya, keluarkan ayam dan sayur dari kuali dan ketepikan sebentar. Ambil tortilla satu persatu, letakkan dalam kuali yang bersih, kemudian taburkan keju parut di separuh bahagian tortilla.

    Susun ayam dan sayur di atas keju dan taburkan sedikit lagi keju di atas inti supaya keju melekat dan meleleh. Lipat tortilla menjadi dua bentuk setengah bulatan dan tekan sedikit agar isi tidak terkeluar semasa menggoreng. Masak setiap quesadilla selama kira-kira 2-3 minit setiap bahagian di atas kuali sederhana panas sehingga keju leleh dan tortilla menjadi garing keemasan. Setelah masak, angkat dan potong menjadi segitiga atau suku bulatan. Hidangkan segera bersama sour cream, guacamole atau salsa sebagai pencicah.

    Gambar Freepik
    Gambar Freepik
    Gambar Freepik
    Gambar Freepik
    Gambar Freepik
    Gambar Freepik

    TIP:

    • Pastikan keju yang digunakan jenis mudah leleh untuk mendapatkan hasil yang melekit dan menaikkan selera.
    • Jangan isi tortilla terlalu penuh, agar ia mudah dilipat dan tidak koyak semasa menggoreng.
    • Untuk tekstur lebih rangup, sapu sedikit minyak pada kuali sebelum meletakkan tortilla.
    • Jika mahu versi lebih sihat, boleh gunakan tortilla gandum penuh dan sedikit
    semburan minyak bagi menggantikan minyak goreng yang banyak.

    Bahan-bahan utama (untuk 4 hidangan):

    • 1 paket tortilla tepung saiz sederhana besar
    • 300g isi ayam tanpa tulang, dipotong dadu atau digoreng sedikit terlebih dahulu
    • 1 biji bawang besar, dihiris nipis
    • 1–2 biji capsicum/lada benggala, dihiris
    • 2 sudu teh serbuk cili
    • ½ sudu teh serbuk jintan manis
    • 1 sudu teh oregano kering
    • 2 cawan keju parut yang mudah leleh
    • 1–2 sudu besar minyak untuk menumis
    • Garam & lada hitam secukup rasa
    • Untuk menghidang: sour cream, guacamole atau salsa

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda