Aktif memperjuangkan lagu ketuhanan sekitar era 1980an, kumpulan Nada Murni menjadi pencetus terhadap gelombang irama nasyid kontemporari selepas dibubarkan pada 1993.
Daripada situ tertubuhnya Rabbani, Hijjaz serta beberapa kumpulan lain yang kemudian meletakkan genre nasyid sebagai fenomena di arus muzik perdana sehingga diundang beraksi di luar negara.
Biarpun masing-masing memilih haluan serta mengukuhkan jenama sendiri, selepas tiga dekad mereka kini bakal kembali bergabung di pentas mega menerusi konsert Legenda Nada Murni pada 7 Disember depan.
Memilih Idea Live Arena Petaling Jaya sebagai gelanggang reunion, dijangka persembahan mega di lokasi yang mampu memuatkan 5,000 penonton itu dapat mengubati kerinduan peminat.
Ahli Rabbani, Azadan Abdul Aziz berkata, konsert itu akan mengetengahkan persembahan pelbagai bentuk termasuk tarian munajat, pantomim pertarungan antara hati dan nafsu serta sajak.

“Buat pertama kali selepas 35 tahun, ahli asal Nada Murni yang kini bergerak di bawah kumpulan Hijjaz dan Rabbani akan bergabung di pentas sama dengan mengimbau nostalgia era kegemilangan nasyid 80an,” katanya kepada Kosmo.
Menurut anggota Hijjaz, Isman Nadim Isam pula, konsert itu nanti bukan persembahan biasa, sebaliknya sebuah ruang untuk menghimpunkan kelompok penggemar tegar yang membolehkan genre nasyid kontemporari teguh hingga kini.
“Nasyid yang pernah mendominasi landskap muzik tanah air suatu ketika dulu tentu sahaja ditunggu-tunggu sekali gus menggamit nostalgia yang mungkin sudah lama tersimpan dalam ingatan peminat.
“Sebagaimana dirancang, antara fokus kami adalah menyuntik pengisian rohani yang menyentuh hati dengan gabungan suara emas ahli asal Nada Murni yang masih segar mendendangkan irama penuh syahdu.
“Selain peminat yang membesar dengan lagu Nada Murni, kami percaya ramai generasi
baharu akan hadir pada malam reunion itu kelak. “Inilah juga semangat kebersamaan yang menyatukan kami melalui muzik yang murni dan berjiwa,” ujarnya mengenai konsert anjuran Karri Talk Production bersama Westzone Entertainment itu. – Agensi








