Oleh Salawati Haji Yahya & Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mei – Bersempena dengan Sambutan Jubli Intan 60 tahun Radio Brunei, Bahagian Perkhidmatan Radio, Radio Televisyen Brunei (RTB) telah mengadakan Majlis Membaca Surah Yasin, Sembahyang Asar berjemaah dan Doa Kesyukuran di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien di sini, hari ini.
Mengimbau sejarah perkembangan Radio Brunei, perasmian Masjid Omar ‘Ali Saifuddien pada 1958 Masihi merupakan detik pertama kali siaran langsung dilaksanakan oleh Perkhidmatan Radio Brunei.
Manakala itu, di akhir 80-an sehingga kini, Perkhidmatan Radio Brunei melalui Rangkaian Nasional dan Nur Islam telah menyiarkan langsung sembahyang Fardu Maghrib dan Subuh setiap hari dari Masjid Omar ‘Ali Saifuddien selain menyiarkan langsung sembahyang Fardu Jumaat.
Ini membuktikan, Perkhidmatan Radio Brunei turut sama berperanan dalam mengembangkan syiar Islam menurut Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah serta dalam konteks amalan negara yang berkonsepkan Melayu Islam Beraja dan sebuah Negara Zikir.