Monday, May 12, 2025
27.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Radio penawar rindu kanak-kanak terpencil alaska

    ANCHORAGE, ALASKA – Apa yang diperlukan adalah beberapa perkataan daripada sebuah buku cerita untuk menghubungkan kanak-kanak di stesen radio AM. Ia bukan hiburan 1950an, tetapi cara nostalgia di mana kanak-kanak dalam komuniti paling terpencil di Alaska – ramai tidak mempunyai internet – mengatasi pengasingan teruk yang dibawa wabak koronavirus.

    Perpustakaan awam di bandar kecil Homer mendapat idea kreatif apabila ia terpaksa ditutup ketika pandemik, dengan bergabung bersama stesen radio untuk memperkenalkan rancangan bercerita popular kepada kanak-kanak prasekolah yang terkurung di rumah.

    Pustakawan perkhidmatan belia Claudia Haines membawa beberapa buku kanak-kanak – dipilih untuk menarik tumpuan kanak-kanak lebih tua atau orang dewasa juga – pada pagi Khamis menerusi stesen KBBI, yang menyiarkan program kepada 5,000 penduduk bandar dan kampung sekitarnya. Stesen AM adalah antara beberapa penyiar radio yang telah menghiburkan komuniti terpencil Alaska berdekad-dekad lamanya, mengisahkan sejarah dan budaya mereka malah menghantar pesanan peribadi di udara untuk orang yang jauh daripada sistem jalan raya terhad di negeri itu.

    “Radio mempunyai tradisi bercerita yang menyeronokkan,” kata Haines. “Adalah menarik melihat ia dimanfaatkan sepenuhnya.”

    Program itu adalah antara cara perpustakaan di seluruh negara menyesuaikan diri ketika pandemik, menurut satu tinjauan terbaharu oleh Persatuan Perpustakaan Awam. Daripada lebih 2,500 perpustakaan yang memberikan respons, lebih 90 peratus berkata bangunan mereka telah ditutup. Seperti perpustakaan Homer, mereka telah mengembang perkhidmatan dalam talian seperti media penstriman dan e-buku.

    Pustakawan Claudia Haines bersedia untuk bercerita di sebuah stesen radio tempatan KBBI di Homer, Alaska. – AP
    Polly Fraley, 4, mendengar cerita kanak-kanak oleh pustakawan Claudia Haines di Homer, Alaska. – AP

    Mereka juga menyumbang kepada komuniti mereka. Perpustakaan Daerah El Dorado di California sedang menerima bantuan menggunakan pencetak 3D untuk menghasilkan penutup muka untuk hospital dan pusat lain. Perpustakaan Daerah St Louis di Missouri bekerjasama dengan sebuah dana lampin untuk menyediakan perkhidmatan pandu lalu lampin kecemasan di empat cawangan.

    Di Alaska, program bercerita radio, yang juga disiar secara langsung di laman web KBBI, mempunyai tarian yang membolehkan pendengar muda melepaskan tenaga mereka. Program berakhir dengan masa untuk kanak-kanak menelefon ke stesen.

    “Mereka benar-benar gembira untuk menelefon dan me-ngucapkan helo,” kata Haines. “Semangat program pertama adalah, ‘kami telah terpisah sementara perpustakaan ditutup dan kami semua tinggal di rumah, tetapi kami masih berada di sini bersama dalam komuniti dan inilah cara kami berhubung.’”

    Polly Fraley, 4 tahun, seorang pendengar tetap pada masa bercerita perpustakaan, berkata bahagian kegemarannya dalam rancangan terbaharu adalah ‘apabila semua orang makan malam’ dalam buku ‘Thank You, Omu!’ oleh Oge Mora.

    Ibunya, Cassy Quinlan, berkata keluarganya telah lama mendengar rancangan dari stesen radio, malah berkomunikasi dengan kawan-kawan yang mempunyai internet menerusi perkhidmatan ‘talian terpencil’ KBBI, yang membenarkan penduduk tempatan mendengar pesanan yang disiarkan menerusi radio. Mereka boleh termasuk apa-apa daripada ucapan hari lahir kepada sajak kasih sayang, kata Quinlan.

    Polly dan kakaknya Lucy, 6, merindui perpustakaan sejak ia ditutup pada pertengahan Mac. Namun pandemik ‘membantu mengembalikan hidup kesederhanaan kepada penduduk, anda tahu, keperluan asas – radio, membaca, menyelesaikan teka-teki,” kata Quinlan.

    Haines, pustakawan, berkata beliau merebut peluang untuk berhubung sekali lagi dengan keluarganya. Menganjurkan rancangan adalah satu masa di mana beliau meninggalkan rumah, bekerja dengan seorang kakitangan radio untuk memulakan penyiaran.

    Masa bercerita adalah sebahagian daripada usaha stesen untuk mengekalkan hubungan penduduk meskipun pengasingan, kata pengarah pembangunan KBBI Loren Barrett. Ia juga telah menambah taklimat mingguan COVID-19 bersama pegawai dan satu program bertajuk ‘Social Distance’ yang memaparkan ceramah muzik dan makanan secara langsung untuk pendengar yang teringin mendapatkan resipi baharu.

    “Radio, terutamanya dalam komuniti kecil seperti ini boleh menumpu pada kanak-kanak dan melakukan kerja yang hebat,” kata penyiar bersara Al Bramstedt Jr. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda