EASTBOURNE, 25 JUN – Emma Raducanu menahan sebak selepas mengesahkan tempatnya dalam pusingan kedua Terbuka Eastbourne, manakala juara Wimbledon, Barbora Krejcikova terselamat daripada mata perlawanan untuk mara kelmarin.
Raducanu bangkit daripada ketinggalan pada set pembukaan menentang pemain Amerika, Ann Li untuk menang 6-7 (5/7) 6-3 6-1 selepas hampir dua setengah jam di gelanggang.
“Rasanya luar biasa. Saya ingin berterima kasih kepada para penonton kerana membantu saya melalui beberapa detik yang sukar,” kata bekas juara Terbuka Amerika Syarikat itu dalam temu bual di gelanggang.
“Ia sangat bermakna kepada saya, dan saya sangat berbangga dengan cara saya bangkit selepas ketinggalan pada set pertama. Saya sangat gembira untuk melaluinya.
“Ia sukar, naik dan turun, tetapi dari pertengahan set kedua saya mempunyai tahap prestasi yang meningkat,” tambahnya.
Raducanu terlepas Terbuka Berlin ming-gu lalu kerana kecederaan belakang yang dialaminya sebelum bermulanya Terbuka Perancis.
Tetapi, selain daripada tergelincir dan jatuh di atas gelanggang rumput dalam set pertama, dia kelihatan melalui ujian dalam perlawanan pembukaan di pantai selatan England tanpa sebarang kecederaan.
Raducanu seterusnya berdepan pemain remaja Australia, Maya Joint, yang menyingkirkan naib juara Wimbledon dua kali, Ons Jabeur Isnin lalu.
Sementara itu, Kreickova tersingkir pada pusingan pertama di Queen’s dua minggu lalu sekembalinya ke padang rumput buat kali pertama sejak kejayaannya di Kelab All England tahun lalu. – AFP
