Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ra’ess Khair, Aliya Itsna Shafiyah juara hafazan

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MEI – Awang Ra’ess Khair bin Haji Kamaruzaman @ Ali dari Sekolah Rendah Sinaut dan Dayang Aliya Itsna Shafiyah binti Ulul Azmi dari Sekolah Al-Falaah, Sungai Akar masing-masing muncul johan bagi Kategori Lelaki dan Perempuan dalam Pertandingan Akhir Hafazan Surah-surah Pilihan Juz 30 bagi Sekolah-sekolah Rendah Senegara Tahun 2025H/1446M yang berlangsung di Dewan Kuliah, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, hari ini.

    Sementara itu, naib johan lelaki ialah Awang Mohammad Asyhar bin Haji Mohammad Yusra dari Sekolah Al-Faalah, Sungai Akar dan tempat ketiga ialah Awang Ammar Haares bin Muhammad dari Sekolah Rendah Orang Kaya Besar Imas, Subok.

    Sementara itu, naib johan perempuan ialah Dayang Nur Sarah Basyirah binti Mohammad Fikri dari Sekolah Al-Falaah, Ban 5 dan tempat ketiga ialah Dayang Aleeya Maisarah binti Arjune dari Sekolah Alif Sdn Bhd.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah-hadiah kepada para pemenang ialah Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan (Profesional), Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Haji Metusin bin Haji Jais.

    Pertandingan anjuran Bahagian Kegiatan Kerohanian, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan itu, dibuka kepada semua pelajar sekolah rendah kerajaan dan swasta di seluruh negara dengan setiap sekolah dibolehkan menghantar dua orang peserta bagi setiap kategori iaitu Kategori Lelaki dan Perempuan.

    Pertandingan itu terdiri daripada dua peringkat iaitu peringkat saringan dan peringkat akhir di mana seramai 32 peserta lelaki dan 29 peserta perempuan telah bertanding di peringkat saringan dengan lapan berjaya mara ke peringkat akhir.

    Pertandingan itu bermatlamat untuk mendedahkan pelajar kepada budaya menghafaz Al-Quran, di samping menambah pengetahuan dan pengalaman pelajar-pelajar dalam penghayatan Al-Quran.

    Manakala, objektif pertandingan ialah untuk memupuk semangat mencintai Al-Quran serta membolehkan para pelajar untuk mengamalkan dan membaca surah-surah pilihan Juz 30 dengan betul dan bertajwid serta menggalakkan pengamalan ajaran-ajaran berkenaan.

    Pertandingan itu juga diharap dapat mendukung hasrat kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia bagi menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai Negara Zikir.

    Haji Metusin menyampaikan hadiah kepada johan Kategori Lelaki, Awang Ra’ess Khair. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    Haji Metusin bergambar ramai bersama para peserta Kategori Perempuan di pertandingan akhir berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    Haji Metusin menyampaikan hadiah kepada Johan Kategori Perempuan, Datang Aliya Itsna Shafiyah. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda