Bekas suami kepada pelakon Malaysia, Mawar Rashid iaitu Raf Yaakob tidak menolak sekiranya mereka kembali bertemu jodoh selepas mengumumkan perceraian pada 23 November tahun lalu.
Memetik laporan mStar, Raf atau Raden Ahmad Faizal Yaakob, 39, berkata beliau juga sentiasa berdoa agar dipertemukan dengan calon yang terbaik buatnya di masa akan datang.
“Soal jodoh semuanya ketentuan Allah. Apa yang saya boleh cakap ialah saya akan sentiasa berdoa agar dipertemukan dengan jodoh baik-baik.
“Kalau Allah kata saya akan dijodohkan semula dengan dia (Mawar), maka dialah orangnya. Namun jika Allah kata bukan, maka bukanlah dengan dia,” katanya.
Raf mengulas perkara itu dalam temu bual bersama program Melodi yang bersiaran pada Ahad lalu.
Ini juga merupakan yang pertama kali Raf buka mulut soal perpisahan beliau dengan Mawar kerana sebelum ini kedua-duanya lebih selesa mengunci mulut berkaitan hal berkenaan.
Menurutnya perpisahan yang terjadi antara mereka bukan disebabkan orang ketiga dan hubungan beliau bersama Mawar masih baik selepas bercerai.
“Saya ingin terangkan di sini bahawa perceraian kami bukanlah disebabkan orang ketiga. Saya tiada orang ketiga dan begitu juga dengan Mawar.
“Allah sudah kata jodoh kami setakat ini saja, jadi saya reda dan terima ujian dengan hati terbuka.
“Alhamdulillah, hubungan saya dengan bekas isteri baik-baik saja. Selepas bercerai, tiada siapa yang keluarkan sebarang kenyataan,” ujarnya.
Tambah adik kepada selebriti cef Datuk Fazley Yaakob ini, beliau dan Mawar kini lebih fokus untuk membesarkan anak-anak mereka bersama dengan baik.
“Selepas bercerai, tiada sebarang pergaduhan membabitkan anak-anak. Kami sangat fleksibel soal anak-anak.
“Apa yang penting sekarang, saya mahu fokus untuk mencari nafkah buat anak-anak dan perbaiki diri saya sendiri,” jelasnya.
Untuk rekod Raf dan Mawar atau Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid, 29, mendirikan rumah tangga pada 2017 dan mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata. – Agensi
