PARIS, 31 Okt – Rafael Nadal berkata bahawa dia mahu mengukuhkan kedudukannya hujung tahun ini sebagai pemain nombor satu dalam ranking ATP dengan memenangi perlawanan pertamanya di Paris Masters.
Tetapi pemain berusia 31 tahun itu, yang juga cuba mengimbangi situasi politik di negaranya dengan statusnya sebagai ahli sukan antarabangsa, menolak untuk membesar-besarkan potensi statusnya itu.
“Saya perlu memenangi satu perlawanan. Saya berusaha keras di sini, seperti yang biasa dilakukan dalam semua kejohanan,” katanya sebelum memulakan kejohanan sebagai pilihan utama selepas Roger Federer menarik diri kerana keletihan.
“Saya berharap jika ia (nombor satu) ini terjadi, ia akan menjadi sesuatu yang penting buat saya.
“Tetapi musim ini masih belum berakhir dan ia bukan masanya untuk terlalu memikirkannya.
“Saya hanya akan cuba membuat persiapan yang sebaiknya bagi kejohanan ini dan kemudian cuba bersedia bagi perlawanan pertama.”
Nadal, yang merampas kedudukan teratas ranking pada bulan Ogos buat pertama kali dalam masa tiga tahun, dijangka memulakan kejohanan di Bercy menentang Hyeon Chung dari Korea Selatan, yang memulakan pusingan pertama dengan kemenangan ke atas Mischa Zverev dari Jerman.
Federer tidak menyertai Paris selepas kemenangan berturut-turut di Shangai dan Basel, berehat bagi membuat persiapan untuk ATP Finals yang bakal bermula kurang dua minggu lagi di London.
Nadal, yang menarik diri dari Basel kerana kecederaan lutut, tidak menyalahkan pesaingnya yang mengejar matlamat peribadi.
“Semua orang mahu menjadikan kalendar itu yang terbaik diri mereka,” kata Nadal. “Baginya semua berjalan dengan lancar. Setentunya dia mempunyai peluang lebih baik, jika dia datang ke sini. Tetapi anda tidak tahu.” – AFP