Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN – Keakraban seorang raja dengan rakyat jelata dicerminkan melalui Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah di Daerah Temburong sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-75 yang berlangsung di Padang Dewan Kemasyarakatan Pekan Bangar, hari ini.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerabat diraja berkenan bercemar duli ke majlis tersebut, sekali gus melambangkan keutuhan pemerintahan beraja yang sanggup turun padang beramah mesra dan berinteraksi bersama rakyat.
Meskipun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan, keberangkatan Baginda Sultan dan kerabat diraja ternyata meriah dan berjalan lancar, melepaskan kerinduan rakyat kepada Baginda selepas tiada majlis serupa akibat penularan COVID-19 pada tahun lalu.
Dalam kesempatan itu, penulis sempat menemu bual beberapa penduduk yang menyertai dan menghadiri majlis tersebut.
Wakil Polsara Daerah Temburong, Haji Abdul Halim bin Haji Ahmad ketika ditemui merasa amat terharu melihat Negara Brunei Darussalam berjaya membendung penularan wabak COVID-19 dan berpeluang meraikan Sambutan Perayaan Hari Keputeraan Baginda dengan meriahnya.
“Kami sangat bersyukur kerana berada di sini dan sama-sama memeriahkannya dan ini menunjukkan bahawa Negara Brunei Darussalam sebuah negara yang harmoni dan aman. Majlis ramah mesra ini juga sangat meriah dan unik berbanding yang lainnya,” tambahnya.
Padan bin Lasong dari Kampung Parit, Daerah Temburong yang juga ketua kebudayaan Persatuan Lunbawang Murut Brunei, merafakkan ucapan tahniah ke hadapan Baginda Sultan, berharap Baginda kekal karar memerintah Negara Brunei Darussalam dan mensyukuri menjadi rakyat Kebawah Duli yang penuh prihatin.
Timbalan Komandan Mejar (B) Sopian bin Haji Mohammad Yasin, selaku ketua Alumni PKBN, menyatakan seramai 30 alumni PKBN menyertai majlis ramah mesra itu, bagi mempamerkan komitmen padu mereka kepada Baginda Sultan, selain memberikan perkhidmatan dan bantuan demi memastikan majlis itu berjalan lancar.
Beliau juga merafakkan kesyukuran atas sikap pemedulian Kebawah Duli Yang Maha Mulia terhadap kebajikan rakyat negara ini.
Bagi Timbalan Penguasa Polis (DSP) Mohammad Amiruddin bin Haji Tunjang yang merupakan ketua perhubungan awam Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan Urus setia Pengawasan Kejiranan PPDB, teruja menyertai majlis itu dan bersemuka dengan Baginda Sultan.
Menurutnya, acara hari ini sangat unik dan merasa terharu menyaksikan keakraban raja dengan rakyat serta rasa prihatin Baginda terhadap segenap lapisan masyarakat.
“Baginda Sultan merupakan pemimpin yang sangat memeduli dan prihatin, menjadikan Baginda Sultan sangat berbeza daripada para pemimpin dunia yang lain,” tambahnya.
Salah seorang penduduk yang ditemui penulis, Awang Sulaiman bin Burut turut melahirkan kegembiraan atas keberangkatan Baginda Sultan ke daerah itu, memberikan kesempatan kepada beliau dan keluarganya bertemu dan bersua muka lebih dekat lagi dengan Baginda.
“Kami sangat gembira menjunjung keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke Daerah Temburong. Acara hari ini sangat meriah dan dengan keberangkatan Baginda Sultan menambahkan lagi keceriaan rakyat dan penduduk di daerah ini,” katanya.
Keberangkatan Baginda pada majlis tersebut sememangnya menjadi detik ristaan yang dinantikan oleh rakyat dan penduduk di daerah itu dan persembahan daripada penduduknya merupakan pesambah khas kepada Baginda.