Raffi Ahmad beri kata-kata semangat kepada bekas kekasih

Berita mengenai pelakon Laudya Cynthia Bella yang mengesahkan sudah bercerai dengan Engku Emran mengejutkan banyak pihak terutamanya dalam kalangan rakan selebriti.

Memetik laporan Liputan6, pengacara terkenal Raffi Ahmad yang juga bekas kekasih kepada Laudya mengetahui perkara itu selepas membaca sebuah artikel dalam portal hiburan.

Bagaimanapun, Raffi hanya mampu mendoakan agar segala keputusan yang dibuat Laudya adalah yang terbaik buat aktres itu.

“Saya baru mengetahui berita yang kurang menyenangkan daripada rakan saya, bukan daripada Vicky tapi dari rakan saya yang lain.

“Selepas baca sebuah artikel mengenai perkara itu, saya hanya mampu mendoakan agar keputusan itu adalah keputusan yang terbaik.

“Saya sentiasa mendoakan agar awak (Laudya) sentiasa dilindungi Allah dan kuat menjalani kehidupan di masa hadapan. Kalau awak perlu apa-apa, boleh hubungi saya saja. Semoga awak tabah,” kata Raffi.

Raffi dan Laudya pernah menjalinkan hubungan istimewa sekitar tahun ini selepas bergandingan dalam sebuah drama namun perpisahan itu tidak menjadi penghalang untuk mereka terus berkawan.

Menerusi laporan mStar pada 1 Julai lalu, Laudya memberitahu keputusan untuk berpisah telah dipersetujui kedua-dua belah pihak dan dilakukan secara baik. – Agensi

Raffi Ahmad mendoakan agar segala keputusan yang dibuat oleh Laudya adalah yang terbaik buat dirinya. – Agensi