Pelakon Raffi Ahmad menanggung kesakitan selepas terjatuh ketika menunggang seekor lembu baka limosin semasa menjalani penggambaran kelmarin.
Menerusi sebuah video yang dimuat naik di Instagram, Raffi, 38, dilihat terjatuh ketika haiwan itu mula bergerak.
Menurutnya, kedudukan pelana yang tidak stabil menjadi punca dia terjatuh sehingga kepalanya terhantuk pada lutut seorang kru yang datang membantu.
“Kaki tiada masalah cuma kepala terasa sakit. Kepala terhantuk lutut orang yang menolong saya,” katanya kepada mStar.
Difahamkan, sebelum kejadian Raffi dipercayai sudah memerhati beberapa individu yang berjaya menaiki lembu berkenaan dalam keadaan selamat sebelum mencubanya sendiri.
Disebabkan rasa sakit yang tidak tertanggung, Raffi dikejarkan ke hospital untuk dirawat dengan lebih lanjut.
Malah untuk mendapatkan pemeriksaan terperinci dia juga menjalani ujian MRI (Magnetic Resonance Imaging) namun masih belum diperolehi keputusannya.
Sehubungan dengan perkongsian itu, rata-rata pengikut meluahkan rasa bimbang dengan keadaan Raffi.
Mereka juga berharap agar aktor itu tidak melakukan sesuatu yang lasak memandangkan usianya sudah tidak muda lagi. – Agensi
