MENGAPA anak saya tidak mahu dengan orang lain? Mengapa dia menangis apabila bersama orang lain? Itu persoalan sering membelenggu setiap ibu bapa yang memiliki anak berusia lingkungan dua tahun.
Usia dua tahun pertama adalah tempoh kritikal bagi pembentukan hubungan antara anak damit dengan ibu bapa.
Pembentukan hubungan adalah satu perjalanan yang indah bagi setiap anak damit, malah setiap ibu bapa juga sama-sama merasakannya.
Menurut Perunding Kanan (Pendidikan & Keibubapaan) Ikhwah Training & Resources, Nur Firdaus Abdul Razak, setiap ibu bapa dapat memerhatikan tingkah laku anak yang berubah-ubah dari semasa ke semasa.
Menurutnya, ia terjadi disebabkan empat fasa dalam proses berkenaan iaitu:
1. Fasa pertama antara sifar hingga dua bulan
Dalam tempoh ini, anak damit lebih banyak diam dan kelihatan menyendiri dalam dunianya sendiri. Namun, anak damit akan memberikan tindak balas kepada sesiapa saja yang datang kepada mereka. Mereka tidak menunjukkan rasa suka atau takut kepada sesiapa yang datang.


2. Fasa kedua antara dua hingga enam bulan
Selepas beberapa bulan, anak damit mula mengenali siapa yang banyak meluangkan masa bersama mereka. Anak damit akan memberikan tindak balas yang lebih baik kepada sesiapa yang membuatkan mereka gembira dan ceria. Mereka ketika ini mula mengenali ‘ibu’, ‘ayah’ dan ahli keluarga yang berada di dalam rumah mereka.
3. Fasa antara enam hingga 24 bulan
Bermula usia sekitar enam bulan, anak damit bersikap lebih memilih. Mereka tidak mahu kepada orang lain. Jika cuba diambil, mereka menangis atau melarikan diri.
4. Fasa keempat pada usia 24 bulan ke atas
Dalam keadaan sudah berasa selamat dengan ahli keluarga yang menyayangi mereka, anak kecil mula memahami konsep perkongsian iaitu mereka sebenarnya berkongsi kepentingan dengan ahli keluarga lain.
Bukan mereka saja lapar, abang juga lapar. Apabila mahukan sesuatu, mereka boleh ‘lihat orang lain juga’ dan mempertimbangkan semula apa yang dikehendaki itu.
Menurut Nur Firdaus, berdasarkan fasa ini, anak damit lazimnya dilihat ‘tidak mahu bersama orang lain’ bermula usia sekitar enam bulan.
“Mereka bukanlah berubah menjadi sombong atau tidak mahukan orang seperti kebanyakan kita sangkakan tetapi apa yang berlaku, anak kecil sudah menemui apa yang dicari selama ini iaitu kepercayaan.
“Ini bermaksud percaya dengan sepenuh hati bahawa penjaga (orang yang paling setia meluangkan masa memenuhi keperluan) ialah tempat selamat bagi mereka,” katanya.
Nur Firdaus berkata, selama enam bulan anak damit memerhati individu yang datang dan pergi serta mendapati adanya individu tertentu yang mempunyai kaitan emosi dengannya.
“Dalam tempoh itu, anak damit juga menemui keadaan yang membuatkan mereka rasa tidak selamat, menakutkan dan menyedihkan.
“Sebagai contoh, ada orang memarahi, menjentik mereka, merampas apa yang dipegang, tidak melayan permintaan dan yang berkaitan,” ujarnya.
Menurutnya, perkara itu menyebabkan si kecil meletakkan kepercayaan terhadap orang tertentu selain sudah mula membezakan setiap individu yang menghampirinya.


“Disebabkan itu juga, anak damit dan kanak-kanak menangis, lari atau menunjukkan tindak balas kurang senang apabila didekati orang tidak dikenali.
“Layanan seperti ini juga diberikan kepada orang yang kurang mesra dengan mereka sebelum ini,” katanya.
Katanya, memang ada sebahagian anak damit dan kanak-kanak yang nampak seperti tidak kisah apabila didekati individu tidak dikenali namun ia berkaitan faktor lain.
“Setiap ibu bapa dinasihatkan supaya tidak terlalu risau kerana fenomena anak kecil tidak mahu dengan orang lain ini adalah normal dan kebiasaannya ia bermula sekitar usia enam bulan,” katanya.
Bagaimana menghadapinya?
Menurut Nur Firdaus, mahu atau tidak setiap ibu bapa perlu menghadapinya. Ia akan berlaku sebagai salah satu proses normal dalam perkembangan sosial anak.
“Ia satu fitrah bagi memastikan hanya kita (ibu bapa dan penjaga) yang akan menjadi contoh utama mereka. Ia juga membantu dari sudut keselamatan apabila anak kecil tidak mudah hilang atau dilarikan orang.
“Ibu bapa juga boleh berusaha menjadikan perkara ini satu keadaan yang stabil dan tidak keterlaluan,” katanya.
Antaranya dengan cara berikut:
1. Layan anak damit dengan penuh kemesraan setiap masa. Ia penting untuk membuatkan mereka percaya dan yakin berada dalam persekitaran yang selamat. Penting untuk memangkin kematangan sosial kerana jika tidak, mereka lambat bergaul dan ia mendatangkan cabaran lain pada masa akan datang.
2. Tidak terlalu mengasingkan anak damit daripada orang di sekeliling. Kita perlu sentiasa jauhkan mereka daripada orang yang boleh merosakkan, tetapi pada masa sama bawa juga anak berjumpa dan bergaul dengan orang yang baik dan boleh dipercayai. Jangan hanya terperap di rumah kerana ia mewujudkan persekitaran kejiranan yang kurang baik. Keluarlah sekali-sekala menziarahi atau beramah mesra dengan individu yang baik kerana anak damit juga perlu bersosial.
3. Sesekali bawa anak ke surau dan masjid. Apabila ramai orang dewasa yang menegur dan mengusik, lama-kelamaan mereka akan dapat menyesuaikan diri dengan keadaan itu dan mengurangkan rasa takut kepada individu lain. – Agensi