BEIJING, 23 SEPT – China telah mengarahkan sekurang-kurangnya 10 bandar menutup sekolah dan perniagaan hari ini, ketika Taufan Super Ragasa menghampiri wilayah selatan negara itu.
Langkah tersebut memberi kesan kepada puluhan juta penduduk dan menjejaskan ribuan kilang di kawasan perindustrian utama China.
Menurut kenyataan Biro Pengurusan Kecemasan Guangdong awal pagi tadi, Ragasa dijangka membadai kawasan pantai tengah dan barat Guangdong dalam tempoh 24 jam.
“Kawasan utama perlu segera melaksanakan langkah pencegahan… memastikan keselamatan nyawa dan harta benda rakyat, serta meminimumkan kerugian bencana pada tahap maksimum,” kata kenyataan itu.
Pihak berkuasa Guangdong telah mengaktifkan tahap tindak balas kecemasan tertinggi bagi ribut angin, dengan Ragasa membawa tiupan angin kencang sehingga 230 kilometer sejam, menurut perkhidmatan cuaca Hong Kong.

Bandar teknologi Shenzhen mengarahkan pemindahan 400,000 penduduk, dengan pihak berkuasa kecemasan memberi amaran mengenai ‘angin kencang, hujan lebat, ombak besar dan banjir.’
“Kecuali anggota penyelamat kecemasan dan mereka yang memastikan kelangsungan hidup rakyat, orang ramai diminta untuk tidak keluar sewenang-wenangnya,” kata pihak berkuasa dalam kenyataan, sambil menambah penutupan tempat kerja dan pasaran bermula pada sebelah petang.
Antara bandar utama lain yang melaksanakan penggantungan operasi ialah Zhuhai, Dongguan dan Foshan.
“Angin kencang dan hujan lebat… akan memberi kesan serius kepada bandar kita, mewujudkan situasi pertahanan yang kritikal,” kata ibu pejabat kecemasan Foshan dalam kenyataan.
Ragasa kini sedang bergerak di Laut China Selatan selepas mengakibatkan melanda Filipina di mana seorang mangsa maut akibat ribut itu.
Siaran CCTV turut memberi amaran bahawa kapal-kapal di utara laluan perairan, termasuk di selatan Selat Taiwan, Saluran Bashi dan perairan pesisir Guangdong perlu memberikan keutamaan terhadap keselamatan.
Para saintis secara umumnya bersetuju bahawa perubahan iklim akibat aktiviti manusia menyebabkan taufan menjadi lebih kuat dan kerap berlaku seiring dengan pemanasan global. – AFP

