Ragbi Malaysia ingin jadi pasukan terbaik Asia

KUALA LUMPUR, 29 APRIL – Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) tidak akan terbuai-buai dengan pujian sebaliknya akan melipatgandakan usaha untuk merapatkan jurang dengan tiga pasukan – Jepun, Hong Kong dan Korea Selatan – agar menjadi antara pasukan terbaik di Asia pada masa akan datang.

Presidennya, Datuk Shahrul Zaman Yahya mengakui bahawa banyak yang perlu dilakukan oleh badan induk itu untuk memastikan pembangunan ragbi Malaysia menjadi setaraf dengan negara-negara berkenaan.

KRM pada Isnin, menerima pujian daripada Presiden Ragbi Asia, Qais Abdulla Al Dhalai, yang menyatakan Malaysia berada di landasan yang betul untuk menjadi kuasa besar ragbi Asia.

“Selepas krisis COVID-19 ini berakhir, kita perlu meneruskan perancangan untuk pembangunan pasukan berprestasi tinggi, kejohanan tempatan dan program pembangunan akar umbi. Kita bakal hadapi cabaran besar selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat.

“Kita terpaksa mengejar kembali masa yang hilang kerana pandemik ini, kerana kita menyasarkan untuk layak ke Piala Dunia Ragbi pada tahun 2031. Tetapi sebelum itu, kita mahu melihat pasukan tujuh-sebelah kita layak beraksi di Sukan Olimpik. – Bernama