Oleh Amri HTZ –
Sebagai seorang pereka, memiliki peralatan khusus untuk menyelesaikan sesebuah projek adalah amat penting dalam memastikan setiap langkah berjalan lancar.
Selain peralatan utama, alat tambahan untuk membantu memegang sesuatu material seperti ragum juga wajib dimiliki. Dengan kehadirannya setentunya menjadikan rekaan, terutamanya yang berbentuk kecil, lebih mudah untuk dikerjakan dan selamat ketika alatan tajam digunakan.
Barangan diperlukan
• Alat pengapit C
• Papan daripada kayu keras
• Rod besi ¼”
• Plat loyang 1/16” tebal
• Rod loyang 1/8”
• Wayar tembaga 1/16”
• Paip berukuran ½”
• Epoksi
• Mata gerudi Fostner pelbagai saiz
• Gergaji besi mudah alih
• Mesin pemotong kayu meja
• Kertas pasir
• Kikir besi
Mula langkah pembuatan
Bahagian besi pengetat alat pengapit C yang tersedia akan dilepaskan daripada kedudukannya untuk kegunaan ragum yang bakal direka. Sebelum itu, potong bahagian hujung besi pengetat alat bagi membolehkannya dikeluarkan. (Gambar 2)
Sementara itu, besi bulat berulir di mana alat pengetat ditempatkan juga akan dipotong menggunakan gergaji besi. Memandangkan besi tersebut sedikit tebal, lakukan langkah menyorong material potongan dengan perlahan-lahan bagi mengelakkan bilah pemotong panas menyebabkannya tumpul atau patah. (Gambar 3)
Paip berukuran ½” tersedia juga akan dipotong dengan cara yang sama seperti sebelumnya. Besi ini akan berfungsi sebagai spacer kepada skru atau alat pengetat yang telah dipotong. Memandangkan besi tersebut merupakan barangan yang diguna semula, permukaan luarannya perlu dibersihkan dengan menggunakan kertas pasir, manakala bahagian berulir di hujungnya pula akan dibuang. (Gambar 4)
Potongan berukuran 3/4 inci panjang akan diperlukan untuk paip ini. Permukaan potongan yang tajam terhasil daripada proses pemotongan perlu dibuang menggunakan kertas pasir atau kikir. Ini bagi keselamatan ketika mengendalikannya apabila ditempatkan pada ragum nanti. (Gambar 5)
Papan daripada kayu keras seterusnya akan diratakan permukaannya menggunakan ketam kayu. Ketebalan kayu diperlukan ialah ½”. Kemudian mesin pemotong kayu meja akan digunakan untuk memotong kayu dengan ukuran 5 ½” x 3” bagi dua keping. Kayu ini akan dijadikan bahagian rahang ragum. (Gambar 6)
Reka rod panduan
Langkah seterusnya ialah mereka bahagian rod panduan untuk ragum yang penting untuk mengekalkan kedudukan kedua-dua keping kayu rahang ragum selain untuk mengerakkannya. Rod besi ¼” tersedia akan dibersihkan terlebih dahulu permukaannya daripada sebarang karat. Kertas pasir 300 grit akan digunakan dengan rod ditempatkan pada mesin gerudi untuk memutarnya bagi mempercepatkan proses. (Gambar 7)
Ini diikuti dengan pemotongan rod dengan ukuran 3 ½” dua batang menggunakan gergaji besi. Seperti langkah sebelumnya, permukaan kasar dan tajam terhasil daripada proses pemotongan kemudiannya akan diratakan semula menggunakan kertas pasir. (Gambar 8)
Kayu rahang ragum
Kayu untuk rahang ragum akan ditebuk menggunakan mata gerudi sesuai dengan ukuran rod digunakan. Untuk memastikannya berada pada kedudukan sama di antara kedua-dua keping, ia akan dicantumkan sementara menggunakan pita perekat ketika proses penebukan. (Gambar 9)
Dua batang rod yang dipotongkan sebelumnya akan dimasukkan ke dalam lubang yang ditebuk pada kayu. Lubang pada bahagian depan ragum di mana rod dimasukkan akan disapukan dengan epoksi untuk menetapkannya. (Gambar 10)
Untuk mengetatkan dan menggerakkan rahang ragum, besi berulir yang diambil daripada pengapit C sebelumnya akan ditetapkan pada permukaan kayu. Spacer akan digunakan untuk memastikan permukaan besi berulir tidak akan menjejaskan bahagian dalaman lubang yang telah ditebuk. Selain itu, spacer tersebut juga akan ditetapkan dengan cara menebuk lubang untuk pin. (Gambar 11)
Langkah terakhir
Plat loyang tersedia akan dijadikan pelindung bahagian dalam kayu di mana besi berulir ditempatkan. Ini memerlukan awda melakar dan memotongnya. (Gambar 12)
Langkah terakhir ialah menetapkan bahagian hujung besi berulir untuk bahagian belakang rahang ragum. Klip akan digunakan bagi memastikan besi berulir boleh berputar secara bebas. Oleh itu, awda perlu menebuk bahagian dalam dan luar besi tersebut. (Gambar 13)
Perkongsian tips
• Sapukan sedikit gris pada besi berulir bagi memastikannya lancar ketika digunakan.
• Menetapkan ragum rekaan pada meja kerja memerlukan penggunaan bolt dan nat.
• Peralatan memotong yang tajam akan memudahkan proses rekaan.