Oleh Nurhidayah R. –
Hadirnya bulan Zulhijah iaitu bulan terakhir dalam takwim Islam pastinya memiliki keistimewaan yang tersendiri di mana seluruh umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha yang sekali gus begitu sinonim dengan pensyariatan ibadah korban.
Dengan rahmat Illahi, kesyukuran dipanjatkan kerana tanah air kita, Negara Brunei Darussalam diberi kesempatan untuk menyambut Hari Raya Aidiladha tahun ini.
Lazimnya, keindahan Hari Raya Aidiladha diserikan dengan laungan takbir dan tahmid sebagai tanda kesyukuran kepada Yang Maha Esa.
Sambutan bermula dengan sembahyang Sunat Hari Raya Aidiladha secara berjemaah diadakan serentak di masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat di seluruh negara dan diikuti dengan majlis-majlis ibadah korban.
Menyentuh mengenai perlaksanaan ibadah korban itu hukumnya sunat muakkadah iaitu sunat yang sangat dituntut dan digalakkan untuk dilakukan oleh umat Islam yang berkemampuan iaitu berkorban dengan menyembelih binatang ternak seperti unta, kambing, kerbau atau lembu pada waktu yang tertentu.
Pelaksanaan ibadah korban itu hanya boleh dilakukan dalam empat hari bermula selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah.
Dengan kata lain lain, Aidiladha yang disambut pada hari ke-10 hingga 13 bulan Zulhijah setiap tahun di mana perlaksanaan ibadat korban itu boleh dilakukan sama ada pada 10, 11, 12 atau sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah.
Namun jika ibadah korban dilakukan sebelum dan selepas waktu tersebut maka tidaklah dikira sebagai ibadah korban.
Pengorbanan kerana Allah
Apabila kita mengimbas kembali sejarah Islam detik bermulanya tuntutan kemanisan ibadah berkenaan itu juga mengingatkan kita akan sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim AS menyembelih anaknya Nabi Ismail selepas menerima wahyu daripada Allah SWT supaya berbuat demikian.
Pada suatu hari Nabi Ibrahim bermimpi bahawa Allah SWT memerintahkan Baginda menyembelih anaknya yang bernama Ismail.
Selepas mendapat mimpi itu, Nabi Ibrahim AS pun memberitahu isterinya, Siti Hajar. Maka berbincanglah Nabi Ibrahim, Siti Hajar dan Ismail.
Siti Hajar berkata, “Mungkin mimpimu itu hanya mainan tidur sahaja tetapi kalau mimpi itu merupakan wahyu, wajiblah dituruti.”
Apabila mendengar kata-kata ibunya, Ismail berkata kepada bapanya, “Ayahku, sekiranya ini merupakan wahyu daripada Allah SWT, aku sedia merelakan diriku untuk disembelih.”
Setelah persetujuan dicapai, keesokan harinya Nabi Ibrahim AS pun membawa puteranya Ismail untuk disembelih. Perkara Nabi Ibrahim AS hendak menyembelih anaknya telah sampai kepada pengetahuan orang ramai.
Hal ini membuat orang ramai takut sehingga ada yang mengatakan Baginda mungkin sudah tidak waras hinggakan mahu menyembelih anaknya sendiri.
Walau apapun tuduhan orang terhadapnya, namun Nabi Ibrahim AS tetap menjalankan tugas yang diperintahkan oleh Yang Maha Pencipta terhadapnya.
Setelah Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail sampai di tempat yang dituju, berkatalah anaknya, “Wahai ayahku, aku fikir cara yang baik untuk menyembelih adalah dengan cara aku disembelih dalam keadaan menelungkup tetapi mata ayah hendaklah ditutup.
“Kemudian ayah hendaklah tahu arah pedang yang tajam dan ayah kenakan tepat pada leherku.”
Kemudian Nabi Ibrahim pun melaksanakan perintah Allah SWT sebagaimana dalam mimpinya.
Baginda pun mengucapkan kalimah atas nama Allah SWT lalu memancungkan pedangnya pada leher anaknya itu.
Maka terperciklah darah mengenai badan Nabi Ibrahim AS Sebagai seorang manusia biasa, Baginda pun menggeletar dan membuka penutup matanya.
Tetapi alangkah terperanjatnya apabila melihat yang disembelihnya itu bukanlah anaknya melainkan seekor kibas.
Dengan memuji kebesaran Allah SWT, kedua-duanya pun berpeluk-peluk sambil bersyukur kepada Illahi kerana memberi kekuatan sehingga dapat melaksanakan amanat daripada Allah SWT.
Hikmah pensyariatan ibadah korban
Saban tahun, dalam sama-sama mensyukuri kehadiran Hari Raya Aidiladha, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berserta kerabat diraja melaksanakan ibadah korban sunat bagi Baginda dan kerabat Baginda, sejurus selepas sembahyang Sunat Hari Raya Aidiladha di salah sebuah masjid di ibu negara yang juga diadakan serentak di masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat seluruh negara.
Kemeriahan majlis-majlis ibadah korban juga tidak ketinggalan dilaksanakan oleh kebanyakan rakyat dan penduduk beragama Islam di negara ini di peringkat kampung, daerah, persatuan, agensi kerajaan mahu pun swasta serta secara persendirian antara ahli keluarga dan sanak saudara.
Selain itu, dengan melaksanakan ibadah korban ini, ia juga dapat memupuk sikap pemedulian dan prihatin terhadap masyarakat menerusi pengagihan daging-daging korban kepada yang berhak menerimanya.
Amalan ini juga sekali gus dapat menghakis sifat tamak dalam diri di mana ia secara tidak langsung mampu mendidik diri untuk sentiasa bersyukur di atas segala nikmat rezeki yang dikurniakan iaitu dengan membelanjakan harta itu dengan sebaik-sebaiknya ke jalan yang diredhai Allah SWT.