Saturday, December 14, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rahsia di sebalik Pulau Burung

    Oleh Fad –

    Malam itu, bulan mengambang penuh, menyinari Sungai Tutong yang tenang namun menyeramkan. Aku, seorang penggemar kisah-kisah mistik dan aneh, tidak dapat menolak jemputan untuk menyiasat sebuah pulau kecil bernama Pulau Burung (bukan nama sebenar).

    Pulau itu dikatakan berhantu, tempat roh gelap bersemayam dan menjadi penyebab kehilangan misteri beberapa penduduk kampung.

    Malam tu, aku duduk di perahu kecil bersama Pak Hamid, seorang nelayan tua yang bersetuju untuk membawaku ke pulau itu. Udara malam semakin dingin dan suara burung hantu memecah kesunyian.

    “Kau yakin kan mau pergi ke sana?” tanya Pak Hamid dengan nada risau. “Pulau atu inda senang orang masuk keluar,” tambahnya.

    “Aku mesti tahu kebenarannya, Pakcik. Lagipun, ramai orang sudah hilang. Kalau bukan aku, siapa lagi kan cerita kisah ani?” balasku, penuh yakin.

    Gambar Canva

    “Mun kau nampak sesuatu yang inda biasa, jangan pandang terus. Beri salam saja,” ujar Pak Hamid, seolah-olah memberi peringatan terakhir sebelum kami tiba.

    Ketika tiba, suasana pulau itu sunyi sepi. Pokok-pokok besar berdiri seperti bayang-bayang menakutkan, sementara angin malam membawa bunyi aneh seperti bisikan. Aku melangkah perlahan, membawa kamera dan buku nota.

    Di tengah pulau, aku menemui sebuah rumah kayu usang yang hampir runtuh. Dindingnya dipenuhi ukiran aneh dan di dalamnya terdapat sebuah meja dengan lilin yang sudah padam.

    “Apa saja yang pernah berlaku di sini, sungguh gelap,” bisikku kepada diri sendiri.

    Tiba-tiba, aku terdengar suara seperti seorang perempuan menangis. Suara itu datang dari sebuah bilik kecil di hujung rumah. Dengan hati-hati, aku membuka pintu itu.

    Seorang perempuan berpakaian kebaya Melayu duduk di lantai, rambutnya panjang mengurai menutupi wajahnya.

    Aku cuba mendekati, tetapi perempuan itu tiba-tiba menoleh. Wajahnya putih pucat dengan mata hitam pekat.

    “Kenapa kau datang ke sini?” tanya perempuan itu dengan suara yang tajam.

    Aku terdiam sejenak lalu berkata, “Aku… aku hanya mahu tahu apa yang berlaku di sini. Siapa kau sebenarnya?”

    Perempuan itu mengangkat tangannya, menunjukkan gelang yang berukir nama Aminah, lalu berkata, “Aku dulu penduduk sini. Tapi aku dibunuh oleh mereka yang tamak. Rohku inda akan aman selagi rahsia atu inda didedahkan.”

    Aku menelan liur, badanku menggigil dan bertanya, “Apa rahsia itu?”

    “Pulau tu pernah jadi tempat sembahyang orang dulu. Tapi ada yang salah, sampai sekarang inda aman,” terdengar suara Pak Hamid dalam ingatanku, seolah-olah memberi amaran.

    Sebelum perempuan itu dapat menjawab, angin kuat tiba-tiba melanda, membawa suara jeritan yang memekakkan telinga.

    Rumah itu bergoyang seperti mahu runtuh. Perempuan itu lenyap sekelip mata dan aku hanya tinggal seorang diri di bilik itu.

    Dengan tergesa-gesa, aku berlari keluar dari rumah tersebut. Namun, jalan keluar dari pulau itu seakan-akan hilang.

    Pokok-pokok seperti bergerak, mencipta dinding hidup yang menutup setiap jalan yang cuba ku lalui.

    “Pak Hamid! Pak Hamid!” jeritku, tetapi hanya gema suaraku yang menjawab.

    Tiba-tiba, bayang-bayang besar muncul dari hutan. Sosok hitam tanpa wajah berdiri di hadapanku, memancarkan aura yang membuatku tidak mampu bergerak.

    Sosok itu mendekat perlahan dan dari jauh, aku terdengar suara perempuan itu berbisik,“Kau mesti dedahkan dosa mereka. Kalau inda, kau juga akan terperangkap di sini.”

    Aku akhirnya ditemui oleh Pak Hamid keesokan harinya, terbaring di tepi sungai dengan kamera yang rosak.

    Namun, kamera itu masih menyimpan satu foto terakhir, iaitu wajah perempuan itu, dengan mata yang penuh dendam.

    Pulau Burung kini menjadi misteri yang lebih dalam, tetapi bagi aku, ia bukan lagi sekadar cerita.

    Ia adalah peringatan bahawa sesetengah rahsia lebih baik dibiarkan tersembunyi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda