Thursday, July 17, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rahsia di sebalik tumbuhan semula jadi

    Oleh Nurdiyanah R. –

    Saat tangan insan ini bermain dengan tanah mahupun menanam biji benih ditemani deretan tumbuhan anak-anak pohon herba serba kehijauan menghiasi petak pondok gerai jualannya, dirinya seakan-akan berbicara dengan alam sehingga mewujudkan terapi diri dalam menjalani rutin harian.

    “Hakikatnya, saya berjual pohon-pohon herba ini bukanlah untuk memperolehi pendapatan harian semata-mata namun saya juga ingin serba sedikit pengetahuan dan pengalaman tentang khasiat-khasiatnya dapat dijadikan amal jariah bersama khususnya kepada masyarakat yang ingin mencari penawar masalah kesihatan secara alami,” itulah antara luahan daripada salah seorang pengusaha tumbuh-tumbuhan herba yang berjaja di sekitar Rimba, Gadong, Dayang Nor Siti Rahmah binti Abdullah semasa berkesempatan ditemui penulis baru-baru ini.

    Dengan berbekalkan kudrat yang dimiliki, beliau yang kini berusia 61 tahun membuka cerita bahawa dirinya mula berjinak-jinak dalam perusahaan tumbuh-tumbuhan pokok herba ini sekitar tahun 2022 yang mana pohon-pohon itu diperolehi sama ada daripada hasil tanaman peribadi mahupun dibeli daripada pengusaha tempatan yang lain dan juga dari negara-negara jiran.

    “Walaupun kita sudah memasuki era kemodenan, ubat-ubatan kampung yang sudah diamalkan dari zaman nenek moyang kita sehingga ke hari ini, masih saja ada yang menggunakan sebagai salah satu usaha untuk kesihatan badan.

    “Mengimbas zaman dahulu, kalau sakit, orang-orang tua kita lebih suka mengutamakan perubatan tradisional terutamanya tumbuh-tumbuhan asli yang terdapat di persekitaran mereka. Berkat usaha, segala penyakit diberi kesembuhan dengan izin Allah jua,” ujarnya sambil tersenyum simpul.

    Dayang Nor Siti Rahmah semasa ditemui penulis di pondok gerai jualan pokok-pokok herba miliknya di sekitar Rimba, Gadong, baru-baru ini. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Pokok tamu kunci juga memiliki khasiat yang tersendiri dalam perubatan tradisional. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Daun daripada pokok belalai gajah, mampu membantu orang yang mempunyai masalah kesihatan seperti kanser, buah pinggang, kolesterol, tekanan darah tinggi, diabetes, membuang toksin dalam badan selain mengurangkan keletihan serta mampu menguatkan antibodi. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Pokok sambung nyawa memiliki khasiat yang boleh mengubati penyakit seperti darah tinggi dan kencing manis. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Pokok pelibas dikatakan ibarat penawar segala racun seperti mengubati muntah darah, keracunan, cirit-birit, sakit kaki dan sebagainya. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Daun pokok merunggai boleh dijadikan untuk campuran bahan masakan seperti sup kerana dikatanya ia mampu mengubati pelbagai penyakit seperti kanser, darah tinggi, kencing manis, menguatkan antibodi dan melancarkan pengeluaran susu ibu. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.

    DI SEBALIK KEHIJAUAN, TERIMPAN KHASIAT

    Lazimnya, Dayang Nor Siti Rahmah mula menjalankan perusahaan di pondok gerai jualannya sekitar jam 9 pagi hingga ke akhir petang itu berkongsi lagi setakat ini lebih 20 jenis pokok herba yang dijual pada masa ini antaranya pokok belalai gajah, sambung nyawa, pelibas kuning dan pelibas putih, merunggai dan tamu kunci.

    Jelasnya, pokok herba secara amnya merujuk kepada semua jenis tumbuhan yang mana-mana bahagiannya sama ada daun, batang, buah, kulit batang, akar, rizom ataupun bunga mempunyai pelbagai kegunaan terutama dalam perubatan alami serta adanya juga sesuai dijadikan sebagai rempah ratus dalam masakan.

    “Bagi pokok belalai gajah, daunnya mampu membantu orang yang mempunyai masalah kesihatan seperti kanser, buah pinggang, kolesterol, tekanan darah tinggi, diabetes, membuang toksin dalam badan selain mengurangkan keletihan serta mampu menguatkan antibodi. Sebaiknya daunnya direbus sekurang-kurangnya tiga atau lima helai kemudian airnya diminum kira-kira seminggu dua kali atau pun sebulan sekali tertakluk tahap penyakit yang kita alami,” kongsi beliau.

    Sementara itu, Dayang Nor Siti Rahmah turut mengongsikan antara khasiat yang dimiliki oleh pokok sambung nyawa yang mana ia boleh mengubat penyakit seperti darah tinggi dan kencing manis.

    “Daun sambung nyawa sedikit berlendir dan rasanya tidak pahit. Sebaiknya untuk mengamalkannya boleh dimakan dengan menjadikannya sebagai ulam, dan lebih menyelerakan lagi jika dicecah dengan sambal belacan,” ujarnya dengan senyuman.

    Beliau yang menetap di Kampung Tungku, Katok, juga berkongsi ringkas pokok pelibas ibarat penawar segala racun. Antaranya bagi mengubati muntah darah, keracunan, cirit-birit sakit kaki dan sebagainya.

    “Daunnya boleh dikoyak-koyak dan direndam di dalam air suam kemudian diminum. Akar-akar daripada pokok pelibas kuning juga memiliki khasiat bagi merawat bermacam-macam penyakit. Cara penggunaannya ialah dengan dipotong-potong akar-akar itu, kemudian dimasukkan ke dalam segelas yang berisi air suam lalu diminum. Begitu juga pokok pelibas putih yang mempunyai khasiat yang sama,” kongsinya.

    Sambil duduk ditepi jualannya menanti pelanggan di suasana petang, Dayang Nor Siti Rahmah turut berkongsi khasiat daripada pokok merunggai yang mana jelasnya jika diamalkan ia juga mampu mengubati penyakit kanser, darah tinggi, kencing manis serta menguatkan antibodi.

    “Daun daripada pokok merunggai boleh dijadikan untuk campuran bahan masakan seperti sup. Salah satu manfaat lagi khusus bagi ibu yang baharu melahirkan anak dapat melancarkan pengeluaran air susu ibu,” jelasnya.

    Walau bagaimanapun, tegas Dayang Nor Siti Rahmah bahawa adalah tidak diragukan, banyak lagi tumbuhan khasnya jenis tumbuhan herba mengandungi khasiat tertentu namun kita juga mesti mengetahui bagaimana cara menggunakan atau memakannya dan begitu juga bolehkah kita mengambil atau memakannya dalam kadar yang banyak ataupun tidak. Maka dalam hal ini, nasihat beliau agar kita perlu bertanyakan kepada mereka yang berpengalaman sebelum menggunakan atau memakannya.

    BERUSAHA DENGAN PERUBATAN ALAMI

    Sehubungan dengan itu, Dayang Nor Siti Rahmah turut menyatakan bahawa pastinya inilah sumber alami anugerah Allah SWT yang perlu kita terokai bersama untuk berusaha dan mencari jalan mengubati segala penyakit dan kecederaan ringan yang kita alami selain daripada perubatan moden.

    “Begitu juga dengan daun-daun alami seperti sirih, serai wangi, cekur, kunyit, kaduk dan banyak lagi tanaman lain kebanyakannya boleh diperolehi sekitar halaman rumah atau kebun. Pengetahuan ini suatu yang sudah lama diamalkan oleh orang tua-tua kita sejak dahulu lagi, kehidupan seharian mereka begitu erat dan banyak bergantung kepada sumber-sumber alam semula jadi, salah satunya dari segi perubatan tradisional,
    “Setiap penyakit pasti ada penawarnya dengan keizinan Allah kecuali ajal maut. Yang penting, kita jangan berputus asa dalam berikhtiar dan berdoa untuk memohon kesembuhan dariNya. In shaa Allah, pasti ada jalannya,” ujarnya di akhir pertemuan bersama Media Permata.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda