Tidak dinafikan di antara perkara yang sering dipandang remeh oleh sesetengah lelaki ialah kesihatan kulit terutamanya wajah selepas melakukan senaman.
Lebih-lebih lagi apabila melibatkan bakteria dan fungus yang boleh datang bila-bila masa sahaja. Kedua-dua ‘ejen’ jahat tersebut amat menggemari kawasan lembap. Bahagian badan awda juga tidak terkecuali.
Bayangkan bila awda berada di gim, bukan awda sahaja yang berpeluh tetapi juga orang lain. Jadi ia merupakan keadaan persekitaran yang amat digemari bakteria dan fungus. Jika awda tidak menjaga kebersihan diri selepas melakukan senaman pasti risiko mendapat pelbagai jenis penyakit kulit juga tinggi.
Berikut dikongsi tip bagaimana untuk menjaga kebersihan kulit selepas melakukan senaman di gimnasium.
MANDI SELEPAS BERSENAM
Ada sebab mengapa kebanyakan gim menyediakan ruang mandi di dalam bilik air. Mandi selepas bersenam bukan sahaja boleh mengembalikan kesegaran badan malah boleh membuang segala kotoran, minyak, kulit mati dan menyingkirkan pelbagai bakteria dari badan.


GUNA BODY WIPES
Jika awda tidak selesa untuk mandi di gim, awda boleh membersihkan wajah dan badan dengan menggunakan body wipes.
Jika awda biarkan peluh kering sendiri ia boleh menyebabkan bakteria masuk kepada pori-pori lantas menyebabkan masalah kulit seperti jerawat badan, panau dan sebagainya.
PRODUK KULIT SESUAI
Tahukah awda bahawa produk kulit yang awda gunakan setiap hari mempunyai dua fungsi utama? Pertama, membantu untuk membersihkan kotoran dan kedua, memberikan perlindungan.
Begitu juga produk yang awda gunakan untuk bersihkan diri selepas bersenam di gim.
Gunakan produk yang sesuai dengan jenis kulit awda. Sekira awda tersilap menggunakan produk ia boleh menyebabkan berlakunya alahan dan juga masalah jerawat lebih teruk.
SENTIASA GUNA TUALA BERSIH
Awda sendiri sudah tahu bahawa bakteria dan fungus sangat suka pada kawasan lembap.
Jadi bayangkan tuala awda yang basah dan dibiar begitu sahaja, sudah tentu akan merangsang pembiakannya.
Disebabkan itulah awda perlu memastikan tuala yang digunakan di gim juga sentiasa bersih. Menggunakan tuala yang kerap digunakan hanya akan memburukkan kesihatan kulit.
TUALA BERBEZA UNTUK FUNGSI BERBEZA
Lain tuala lain fungsinya. Sebolehnya asingkan jenis tuala terutamanya untuk wajah dan badan. Menggunakan tuala berbeza boleh membantu kulit awda bebas daripada sebarang penyebaran bakteria ke bahagian kulit sensitif.
BERSIHKAN PERALATAN GIM
Sebelum menggunakan mana-mana perlatan gim, sebaiknya awda bersihkannya terlebih dahulu. Pihak gim kebiasaannya akan sentiasa memastikan kebersihan peralatan senaman namun sebagai langkah lebih selamat, awda boleh bersihkan sendiri.
Sebagai contoh, jika awda ingin menggunakan dumbel lebih elok bersihkan dahulu pemegangnya dengan kain atau tisu basah.
JANGAN BERKAKI AYAM
Kadangkala apabila berada di bilik persalinan dan juga bilik air, ramai yang kononnya lebih selesa berkaki ayam. Cara terbaik mengelakkan fungus melekat pada kaki daripada lantai kotor ialah dengan memakai selipar.
Membiarkan kulit bersentuhan dengan lantai secara berterusan boleh meningkatkan risiko jangkitan penyakit kulit berjangkit. – Agensi

