BANDAR RAYA MEXICO – Fajar pagi menyelubungi kawasan tanah Mayan, utara semenanjung Yucatan.
Manakala sinar mentari menyinari sebuah kawasan gergasi yang popular dengan rahsia tersembunyi di dalamnya: Cenote Kankirixche, sebuah gua dengan mempunyai kolam air kristal yang mencapai 50 meter ke bawah.
Di dalam lubang batu yang luas ini, ikan keli kelihatan berenang di dalamnya yang kelihatan seperti sarang burung yang mempunyai siling terhasil daripada batu kapur.
Semua ciptaan alam semula jadi ini sungguh mempesonakan. Tangga kayu mempunyai 35 tangga itu membantu mengakses ke tempat itu.
Berada di luar, Jose Arceo Ku Ucan, warganegara Mayan yang berusia 62 tahun, menerima pelawat dan mengenakan bayaran pada mereka dengan harga 20 peso (sekitar AS$1) bagi setiap kemasukan.



Dia berkata Cenote itu adalah satu rahsia sehinggalah dua tahun lalu apabila sekumpulan masyarakat kecil Uayalceh bersetuju untuk membukanya kepada orang ramai.
“Pada hujung minggu lebih daripada 100 buah kereta tiba di sini,” kata masyarakat Mayan, yang sedang berehat di bawah lindungan sebatang pokok yang berada 15 blok jauhnya dari Cenote.
Berdekatan dengan telaga, satu-satunya bukti kehadiran manusia di sana adalah tandas dan sebuah restoran yang dibina dengan bantuan kerajaan Yucatan.
Fokus sektor pelancongan mapan
Kankirixche adalah sebagai salah satu contoh bagaimana Yucatan sedang berusaha untuk mengekalkan tarikan alam semulajadinya di mana tamadun Mayan telah berkembang pada hampir 2,000 tahun yang lalu.
Pengarah Perancangan, Penilaian dan Pemantauan Sekretariat Pelancongan Yucatan (Sefotur), Raul Paz, menjelaskan bahawa projek ekopelancongan masyarakat telah meningkat dua kali ganda dari 35 kepada lebih 63 dalam masa lima tahun terakhir.
Melalui pembiayaan dan sokongan dari kerajaan persekutuan dan negeri, infrastruktur telah dibina, orang ramai telah dilatih untuk menjaga tapak itu atau menguruskan aktiviti pelancongan, dan projek-projek tersebut sedang dipromosikan di dalam talian dan juga di luar talian.
“Kami telah berusaha untuk memperbaiki imej bandar ini, pembinaan hotel dan latihan profesional pelancongan, begitu juga projek-projek komuniti telah memberi banyak manfaat kepada penduduk masyarakat Mayan,” kata Paz.
Pegawai Sefotur mengatakan bahawa Yucatan menerima 1.5 juta pelancong setahun, yang rata-rata menghabiskan sekurang-kurangnya satu malam di hotel-hotel setempat.
Tetapi Yucatan kini menghadapi cabaran bagi mengekalkan dan melindungi tempat tarikannya apabila kemasukan pelancong terus meningkat, yang membentuk lebih dari 10 peratus daripada ekonominya.

Paz berkata negeri itu mempunyai lebih daripada 3,000 telaga cenote, tetapi hanya 68 daripadanya dibukakan kepada pelancong kerana mereka perlu memenuhi peraturan bagi kebersihan air.
“Ini adalah salah satu cabaran yang paling penting … mencapai pelancongan yang mapan. Kemapanan ialah masa depan pelancongan, jika kita tidak memulihara sumber-sumber yang kita ada, kita secara jelas akan menghapuskannya,” kata Paz.
Magnet pelancongan antarabangsa
Bintang tarikan Yucatan adalah piramid utama Kukulcan, berada di tengah-tengah kota pra-Hispanik Chichen Itza, yang merupakan antara 10 tapak arkeologi yang paling banyak dikunjungi di dunia bersama dengan Tembok Besar China dan Parthenon di Greece.
Hampir 2.5 juta orang memasuki zon arkeologi 47 hektar itu setiap tahun, untuk melawat pusat politik, ekonomi dan agama yang paling penting dalam tamadun kuno Mayan.
Marco Antonio Santos, pengarah tapak arkeologi terkenal di dunia, Chichen Itza, menjelaskan bahawa 80 pekerja bertanggungjawab untuk menjaga dan mengurus tadbir tapak tersebut, yang menerima ribuan pelancong setiap hari.
Chichen Itza menyediakan sekitar 4 bilion peso (sekitar 214 juta dolar) untuk Yucatan dan seluruh semenanjungnya, kata pengarahnya.
Sekitar 85 peratus pengunjung adalah warga asing, yang sebahagian besarnya berasal dari Amerika Syarikat dan Eropah. Sejak tahun 2010, kemasukan pelancong daripada Asia, terutamanya dari China, telah meningkat, dan segmen ini kini menyumbang 5 peratus daripada 2.5 juta pengunjung tahunan, kata Santos.
Yuna Hou, seorang pelancong dari Beijing berusia 36 tahun, adalah salah seorang daripada mereka. Dia telah membuat lawatan itu bersama dengan empat rakannya.
“Ia sangat menarik dan indah. Seribu tahun sejarah adalah masa yang panjang,” katanya. “Ia adalah satu perkara yang baik bahawa larangan untuk memanjat piramid itu adalah bagi melindunginya.” – Xinhua