Sunday, July 13, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rahsia kulit cantik ratu sehari

    Menghitung detik hari perkahwinan juga menandakan bermulanya persediaan untuk hari bahagia tersebut terutama dari segi kecantikan. Pakaian, solekan, atau gaya rambut awda hanya akan terserlah jika awda rasa selesa dengan kulit.

    Bila memperkatakan tentang perkahwinan, apa yang terlintas dalam fikiran pasti terbayang pakaian cantik, dewan dan pelamin persandingan yang penuh dekorasi bunga dan paling penting wajah pengantin yang cantik berseri di hari bahagia!

    Sebelum tiba hari ratu sehari, ada beberapa langkah yang perlu bakal pengantin ambil tahu dan lakukan untuk memastikan awda tampil menawan dari kepala hingga ke kaki.

    EMPAT MINGGU SEBELUM

    Inilah masanya untuk awda berjumpa pakar dermatologi bagi memeriksa jenis kulit yang awda miliki agar sentiasa berada dalam keadaan yang sihat dan bersih. Sekiranya awda bergelut dengan masalah jerawat, kulit sensitif dan sebagainya, tempoh sebulan ini cukup untuk awda merawatnya.

    Paling penting banyakkan minum air kosong dan amalkan pemakanan yang sihat. Awda juga boleh melakukan urutan badan sendiri di rumah. Lumurkan susu pada badan dan urut perlahan pada kulit selepas mandi selama 15 minit. Awda akan dapat lihat hasilnya selepas beberapa minggu. Setentunya awda pasti tidak akan menyesal dengan usaha tersebut.

    Gambar Eh.my
    Persiapan kecantikan sebelum perkahwinan penting untuk memastikan bakal pengantin kelihatan berseri dan yakin pada hari istimewa. – Eh.my

    TIGA MINGGU SEBELUM

    Tempoh ini adalah untuk awda kekalkan wajah yang berseri dengan rawatan wajah dan urutan badan setiap minggu di spa. Lakukannya sekurang-kurang sekali seminggu. Awda juga disarankan agar tidak mencuba rawatan lain atau kosmetik baru dalam waktu ini.

    Kekalkan produk atau jenama yang awda yakini dan selesa gunakan. Jangan lupa untuk menyapukan krim tabir suria ketika keluar rumah.

    DUA MINGGU SEBELUM

    Sekirannya awda mempunyai jenis rambut kering, sapu dan urut dengan minyak panas (minyak kelapa muda, minyak bijan, minyak badam atau minyak zaitun) selang tiga hari.

    Kemudian bungkus rambut dengan tuala yang sudah dibasahi dengan air panas selama lima minit. Inilah masanya untuk trim rambut atau mewarnakan rambut.

    Sekiranya awda mewarnakan rambut, selepas dua minggu ronanya akan menjadi lebih asli dan menawan. Elak memilih warna yang terlalu terang. Tambahkan rutin pengelupasan dalam penjagaan harian awda. Selain itu, jangan lupa awda disarankan agar rajin untuk menggunakan pupur wajah sekurang-kurangnya sekali seminggu.

    MINGGU TERAKHIR

    Kekalkan rutin penjagaan kulit dan badan yang telah awda amalkan selama sebulan. Di samping itu, jangan lupa untuk mendapatkan rawatan kuku, waxing atau bleaching dan trim bulu kening awda. Pastikan kulit sentiasa lembap dan sempurna. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda