Sebagai lelaki pastinya dalam sebulan atau dua bulan sekali akan ke kedai gunting rambut. Kalau tidak digunting rambut memang serabai jadinya.
Walaupun berambut panjang sekali pun memang perlu pergi ke kedai gunting rambut atau salun untuk lakukan cucian atau mengemaskan potongan sedia ada.
Bercakap tentang memotong rambut pastinya awda mahu jenis gaya yang mengikuti trend terkini.
Awda pastinya tidak mahu menggayakan rambut dengan trend lapuk atau ketinggalan zaman.
Tapi ada satu perkara yang perlu awda ingat. Jenis potongan rambut sebenarnya perlu sesuai dengan bentuk kepala dan wajah sendiri.
Apa yang sesuai di kepala orang lain tidak semestinya akan nampak bergaya di kepala kita.
Berikut dikongsi beberapa jenis potongan rambut dan rujukan sesuai bentuk muka dan kepala awda.


OBLONG: BENTUK MUKA LEBIH PANJANG DARIPADA LEBAR
Potongan rambut yang pendek sesuai dengan bentuk muka jenis oblong. Tetapi awda perlu berhati-hati jika mempunyai jambang kerana jambang yang terlalu tebal akan membuatkan muka awda nampak lebih lebar dan besar.
BUJUR: BENTUK MUKA YANG RUNCING DAN TIDAK MENAMPAKKAN TULANG RAHANG
Bagi yang mempunyai bentuk muka bujur, awda sangat bertuah kerana kebanyakan daripada jenis penggayaan rambut sesuai dengan bentuk muka awda.
Tetapi, berhati-hati dengan pemilihan rambut hadapan atau apa sahaja jenis penggayaan rambut yang boleh menutupi dahi awda. Ini kerana pemilihan rambut tersebut boleh menampakkan muka awda lebih bulat.
BERLIAN: MEMPUNYAI GARIS RAHANG DAN TULANG PIPI YANG BERBENTUK
Ia berbeza dengan bentuk muka bujur. Untuk bentuk muka berlian, ia lebih sesuai jika mempunyai rambut depan yang menutupi sedikit ruang dahi mereka.
Untuk menampakkan awda lebih maskulin, lelaki dengan bentuk muka berlian lebih sesuai jika mempunyai jambang.
BULAT: SAIZ BENTUK MUKA SAMA PANJANG DAN LEBAR
Bagi lelaki yang mempunyai bentuk muka bulat, jenis penggayaan rambut yang mempunyai sedikit definisi dan berbentuk sangat sesuai.
Potongan rambut yang sesuai dengan bentuk muka bulat awda adalah jenis potongan yang boleh menipiskan bahagian tepi rambut.
PETAK: LEBIH BERBENTUK DAN MASKULIN
Bentuk muka petak ini biasanya mempunyai tulang muka yang lebih jelas dan nampak lebih maskulin.
Bentuk muka petak ini biasanya sama sahaja dengan gaya rambut yang sesuai untuk bentuk muka yang bulat.
Mereka lebih sesuai memilih rambut yang lebih nipis di kiri dan kanan serta sedikit tebal di bahagian atas.
SEGI TIGA: TULANG RAHANG LEBIH LEBAR DARIPADA TULANG PIPI
Bentuk muka segi tiga mempunyai tulang rahang yang agak lebar dan berbentuk berbanding tulang pipi mereka.
Lelaki dengan bentuk muka tiga segi ini lebih sesuai mempunyai kepanjangan rambut yang sederhana panjang, di mana tidak terlalu pendek atau panjang. – Agensi

