Rahsia profesional arena pancing terbongkar

Oleh Raz AS

Bekas ketua pegawai eksekutif kepada salah sebuah syarikat pembekal barangan pancing terbesar di dunia Pure Fishing, Pat McIntyre pernah berkata, “kami bercakap dengan para peman-cing supaya kami dapat menghasilkan produk-produk baharu, tetapi mereka tidak akan mendedahkan (rahsia) semuanya di hadapan sesama sendiri. Bersendirian, satu sama satu, ketika itulah tip-tip bagus keluar”.

Menyimpan rahsia antara pemancing boleh dikatakan sudah lumrah dalam arena ini, jangankan di kalangan pemancing kita bahkan juga di seluruh dunia. Lubuk rahsia, teknik rahsia, umpan rahsia. Hampir semuanya kalau boleh serba-serbi rahsia, kadang-kadang ‘ulih’ pun rahsia.

Macam mana ‘ulih’ pun jadi rahsia? Pasti pernah terjadi pada diri sendiri, rakan atau terjumpa orang yang apabila ditanya “ada ulih?”, jawapannya sentiasa sama, “inda ada” atau “seekor saja” tapi rupa-rupanya pancingnya berpesta sakan.

Kenapa pemancing dikatakan kuat berahsia? Mungkin kerana ada yang karit ilmu, karit berbagi rezeki, atau tidak mahu diganggu menikmati masa bersendirian atau sekadar malas buka mulut kerana tidak mahu dikatakan bercakap besar atau memandai-mandai.

Apa pun alasannya itu hak dan kemahuan masing-masing, tidak dapat dipaksa-paksa untuk dikongsikan dengan orang lain. Cuma kepada pemancing-pemancing baharu jangan pula sampai takut atau jara untuk bertanya, kerana ramai juga pemancing-pemancing otai di luar sana yang tidak berat mulut, malah ada yang iski untuk mencurahkan ilmu dan pengetahuan mereka, tinggal saja lagi kita sendiri yang rajin bertanya. Tidak terhad secara bersemuka atau dengan orang kita saja, bahkan boleh juga secara online melalui Instagram, Facebook atau Youtube dan sebagainya.

Para pemancing harus tahu bahawa ikan dapat melihat dengan lebih baik apabila ia dekat dengan permukaan. – Agensi

Namun apa yang penulis ingin sentuh di sini bukanlah mengenai sifat berahsia pemancing, tetapi berkongsi beberapa tip daripada pemancing-pemancing profesional di barat yang menjadi ‘rahsia’ kejayaan mereka untuk pengetahuan bersama.

Pertama sekali adalah tip agar tali dalam spool tidak mudah kusut atau bersimpul akibat line twist, terutamanya bagi penggunaan spinning reel. Tali kusut atau bersimpul dapat mengakibatkan tali lebih mudah terputus ketika melawan ikan, untuk menghindari perkara tersebut Larry Nixon, pemenang anugerah Bass Angler of the Year sebanyak dua kali mengongsikan bahawa beliau akan mengeluarkan tali dari spool kira-kira sepanjang 50 ela ke belakang botnya semasa dalam perjalanan ke lubuk yang dituju. Setelah beberapa ketika barulah ia digulung kembali.

Untuk mencari ikan, Ken Penrod, pemandu pemancing yang dimasukkan ke dalam senarai Hall of Fame berkata, beliau akan mencari keberadaan makanan ikan yang diburunya dengan memerhati keadaan sekeliling. “Burung bangau memakan makanan yang sama dengan ikan yang saya buru. Apabila saya ternampak burung bangau, saya tahu terdapat ikan di kawasan yang berdekatan.”

Manakala Eric Naig, dari Crestliner Boats Angler pula mengongsikan tipnya jika ikan tiba-tiba berhenti daripada memakan umpan, sedangkan anda mengetahui bahawa terdapat ikan di kawasan tersebut. Dalam hal ini Naig menyarankan agar menggunakan saiz umpan yang lebih kecil. Contohnya jika menggunakan umpan tiruan bersaiz 7 inci, ditukar kepada 4 inci dan kelajuan gulungan juga diperlahankan. Beliau mengatakan selalunya gulungan yang perlahan akan menghasilkan tangkapan yang lebih besar.

Bercakap mengenai kelajuan gulungan ketika menggunakan umpan palsu, Jay Kumar CEO Bassfan juga mempunyai pendapat yang sama. Beliau berkata apabila umpan-umpan lain yang digunakannya tidak membuahkan hasil, tidak kiralah ketika memancing ikan bass atau ikan-ikan air masin, beliau akan menukarkannya kepada jenis grub, di mana umpan ini adalah sesuai untuk gulungan perlahan dan ikan tidak perlu berenang laju untuk mendapatkannya.

Untuk pancingan di laut, arus sangat memainkan peranan yang sangat penting. Perkara ini ditekankan oleh Kapten Bob Leonard daripada Texas Saltwater Guides Association, yang mana menurut beliau waktu terbaik untuk memancing di laut adalah pada hari-hari yang mempunyai pergerakan arus yang aktif sepanjang hari.