DUA orang pembuat biskut yang berpakaian putih menggunakan pisau panjang untuk memotong adunan biskut halia yang tebal setelah ia dikeluarkan dari tong logam yang besar, di mana ia telah diperam untuk beberapa bulan di ruang bawah tanah di sebuah kedai roti tertua di dunia.
Pembuat di Kilang Konfeksi Kopernik di pusat bandar bersejarah Torun, Poland mencuba dan memeriksa adunan biskut itu sebelum ia dimasukkan ke dalam ketuhar untuk dibakar.
Kilang tersebut telah menggunakan rempah rahsia untuk adunan biskut tersebut sejak kilang itu dibuka pada tahun 1763 dan menjadi terkenal di negara itu namun terhenti selama beberapa tahun semasa berlakunya Perang Dunia II.
“Hanya enam orang pembuat biskut sahaja yang tahu tentang kadar dan jenis rempah yang digunakan untuk membuat biskut ini,” kata jurucakap kilang, Jakub Kopczynski kepada media. “Cengkih akan memulihara adunan doh yang terdiri dari adunan tepung dan gula, bagi memperkembangkan lagi keunikan rasa adunan doh itu,” tambah Jakub.
Kayu manis, halia dan lada juga dimasukkan dalam adunan itu, tambahnya. Pembuat biskut itu berhenti memberikan rahsia ramuan seterusnya. “Bagi menghasilkan biskut halia yang baik, ia memerlukan proses yang memerlukan banyak pengetahuan dan ilmu,” tambahnya. Di sekeliling kilang tersebut dipenuhi dengan tong-tong besar dan disusun kemas di bahagian bawah lantai kilang, masing-masing beratnya sekitar 700 kilogram.



Dibekalkan untuk semua
Adunan doh yang besar itu mengeluarkan aroma rempah yang tinggi di kilang tersebut. Resipi rahsia itu sekali gus menyerlahkan lagi tradisi biskut itu sehingga ia membawa kembali nostalgia zaman pertengahan di negara itu di mana rempah-rempah telah dibawa dari India dan Timur Tengah. Torun turut menjadi kawasan persinggahan bagi laluan perniagaan Hanseatic.
Biskut ini berkemungkinan sudah wujud dari zaman kuno lagi, tetapi biskut halia dari Torun ini semakin berkembang mengikut trend terkini malah kilang ini telah memperoleh pensijilan yang membuktikan bahawa produk kilang ini boleh dimakan oleh sesiapa sahaja termasuk vegan kerana ia tidak mengandungi minyak kelapa sawit.
“Biskut ini sentiasa berada dalam standard tradisional kami, sekarang kami mempunyai pengiktirafan rasmi,” tambah Kopczynski sambil berpindah ke bahagian lain di kilang tersebut di mana konveyor membawa biskut halia berbentuk ‘Love’ untuk dimasukkan ke dalam ketuhar sepanjang 36 meter kemudian dibakar selama tujuh minit.
Kilang bersejarah itu merupakan sebuah syarikat kerjasama yang dimiliki oleh pekerja dan bekas pekerja, menolak sebarang tawaran daripada pelabur asing bagi mengelakkan rahsia resipi mereka diteroka atau dicuri. Dinamakan bersempena Nicolaus Copernicus, bapa astronomi moden yang dikenali sebagai Mikolaj Kopernik dalam bahasa Poland, kilang itu telah menghasilkan sekitar 3,500 tan biskut halia pada tahun ini dan dijual di Poland serta di seluruh dunia.
Biskut mewah
Pelajar sekolah menengah Poland, Jagoda menekan adunan berbentuk bola biskut halia dan membentuk ‘szczescue’ atau perkataan Poland bermaksud tuah. Dia telah datang ke kilang itu dari bandar Bydgoszcz yang berdekatan untuk mengikuti kelas pembuatan biskut halia di Muzium Torun yang terletak di sebuah kilang berhampiran dengan dataran pusat bersejarah di bandar tersebut.
“Keluarga saya mengamalkan tradisi untuk membuat biskut halia setiap tahun setiap kali menjelangnya sambutan Natal,” kata gadis berusia 17 tahun itu kepada AFP. Biskut halia ini dibentuk dengan pelbagai motif dan telah lama dijadikan sebagai hadiah yang paling eksklusif khususnya semasa era pra-perindustrian sehingga lewat tahun 1700an.
“Disebabkan rempah yang diimport sangat mahal, biskut halia merupakan barangan mewah yang hanya akan dimiliki oleh golongan elit,” jelas pengarah Muzium Malgorzata, Mikulska-Wernerowicz, sambil menambah bahawa pembuat biskut halia terdiri daripada golongan yang kaya dan mendapat tempat dalam masyarakat.
“Raja melawat Torun dan menerima biskut halia dari majlis bandar,” katanya sambil berdiri di sebelah paparan dengan acuan biskut halia yang diukir seperti applewood dan pearwood yang berasal dari tahun 1600 dan 1700an.
Biskut lada
Diundang oleh putera tempatan, kesateria Teutonik yang berasal dari tanah terpelihara menemui Torun, yang dikenali dalam bahasa Jerman sebagai Thorn, pada tahun 1233. Kesateria mempercayai bahawa ia telah membawa rempah pertama dari Timur Tengah, mencetuskan permintaan yang tinggi berikutan perdagangan rempah yang menguntungkan sekali gus membantu Torun menjadi salah satu kota terkaya di Eropah khususnya pada Zaman Pertengahan dan Renaissance.
Biskut Halia masih memberikan perniagaan yang besar di Torun, di mana berpuluh-puluh kedai roti bahkan sebuah muzium interaktif swasta turut memanfaatkan tradisi itu khususnya di bandar yang didiami hanya 200,000 lebih penduduk. – AFP