Saturday, May 3, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rahsia sebalik keindahan bunga raya

    Oleh Nurdiyanah R.

    Bunga-bungaan adalah lambang keindahan. Ia mampu menjadi penyejuk jiwa dan mata insan.

    Seperti keindahan bunga raya, yang mana di kala siang ia mekar dan menjelang senja ia layu, ia juga dikenali dengan nama saintifiknya Hibiscus rosasinensis.

    Bunga raya bukan sahaja boleh dijadikan sebagai tumbuhan yang mekar bagi menghias di halaman rumah atau taman sebaliknya ia menyimpan ibarat 1001 rahsia kebaikan bagi nilai perubatan yang terkandung di dalamnya.

    Bunga raya yang mempunyai lima kelopak besar dan beraneka warna itu terdiri daripada keluarga Malvaceae dan ia ditanam secara meluas sebagai tumbuhan hiasan di negara beriklim tropika dan subtropika. Bukan sahaja warna merah menyala yang sering ditemukan, namun turut memiliki warna seperti putih, kuning dan jingga.

    Tumbuhan hijau berbunga ini bersifat malar dan renek dengan ketinggian sekurang-kurangnya 5-8 kaki. Ia juga merupakan sejenis tumbuhan renek berkayu dan sesuai ditanam atau tumbuh di tanah yang teduh dan bersifat sederhana berasid.

    Semua bahagian tumbuhan ini seperti akar, daun, batang dan bunga mempunyai khasiat terapeutik yang tersendiri. Disebabkan ia begitu mudah diperolehi, pelbagai kegunaan secara penyediaan tradisional telah dilakukan sejak turun-temurun.

    Sesetengah orang tua-tua kita turut berkongsi bahawa, jika seseorang mengalami panas demam, bunga raya putih mungkin boleh menjadi penawarnya.
    Bunga raya atau dikenali dengan nama saintifiknya Hibiscus rosa-sinensis bukan sekadar tumbuhan mekar sebagai penghias di halaman rumah atau taman sebaliknya ia menyimpan ibarat 1001 rahsia kebaikan bagi nilai perubatan yang terkandung di dalamnya.

    Daun bunga raya menyihatkan rambut

    Dikatakan ramuan daripada bunga raya ini mampu mengatasi masalah berkaitan rambut. Kelopak bunga raya dapat merangsang pertumbuhan rambut dan juga membantu menangani masalah keguguran rambut.

    Selain untuk kesihatan tubuh badan, ia juga mampu memberi kecantikan kepada rambut anda seperti menghilangkan kelemumur, mampu memberikan rambut berkilat dan menyejukkan kulit kepala.

    Ada juga mengikut petua orang dahulu mengatakan dengan mengambil beberapa helai daun bunga raya dan masukkannya ke dalam bekas yang berisi dengan air. Kemudian diramas sehingga daun mengeluarkan lendir, ia boleh disapu lendir tersebut pada bahagian kepala dan seluruh rambut dan dibiarkan semalaman sebelum dicuci dan bilas pada keesokannya.

    Bunga raya putih, menurunkan panas demam

    Selain itu, ada juga sesetengah orang tua-tua kita yang turut berkongsi bahawa, jika seseorang mengalami panas demam, bunga raya putih mungkin boleh menjadi penawarnya. Dengan menggunakan lima helaian daun bunga raya putih dan sekuntum bunganya.

    Kemudian, diramas di dalam bekas berisi air. Ramuan itu disapukan ke bahagian kepala dan langkah tersebut dilakukan berulang-ulang dengan usaha untuk menurunkan suhu badan. Selain kaedah merendam itu, tumbuk dan gumpalkan daun bunga raya sebelum dilumurkan di bahagian kepala juga menjadi salah satu alternatif untuk meredakan demam.

    Potensi bunga raya

    Mengimbas salah satu kajian saintifik yang pernah dibaca sebelumnya, hasil ekstrak daun bunga raya ini juga mempunyai potensi sebagai pembunuh sel kanser diperingkat awalan pembentukan sesuatu sel tumor.

    Potensi tersebut diperkukuhkan lagi dengan kewujudan beberapa sebatian biologi aktif (seperti sterol tumbuhan) penting yang bertindak sebagai agen antioksidan, pelindung kardio dan pengawal kepada tekanan darah tinggi.

    Oleh yang demikian, tumbuhan ini dilihat mampu menjadi salah satu sumber tumbuhan herba semula jadi berpotensi tinggi untuk pembangunan ubatubatan baru dan ianya berpotensi menyediakan kesan efektif dalam merawat kanser dan penyakit-penyakit bawaan bakteria.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda