Oleh Ridhwan Razak –
Ramai dalam kalangan wanita kini seolah-olah terikut dengan trend solekan tebal ketika menghadiri sesebuah acara ataupun majlis.
Namun, sedar atau tidak, sekiranya perkara tersebut dijadikan sebagai rutin, mampu memberi kesan kepada kulit wajah.
Jadi sentiasa tampil dengan solekan minimum dengan impak yang maksimum adalah jalan yang terbaik untuk awda melangkah dengan penuh gaya! Bagaimana? Ikuti lima tip daripada saya dan jurusolek profesional.
Elakkan asas yang terlalu tebal, pastikan awda hanya menyapukan apa yang diperlukan kulit sahaja. Mengapa? Kulit awda perlu bernafas! Lebih-lebih dengan cuaca tropikal dan awda pula menggayakan solekan dari pagi hingga ke malam.
1. Kata Jurusolek Profesional, Ummi Nasir, awda boleh cuba solekan minimalis ini rias bulu kening dengan teknik feather kemudian tambahkan palitan dramatis maskara untuk mata lebih menyerlah. Sapuan bronzer untuk menambahkan definisi wajah serta kemaskan solekan awda dengan sapuan rona terang seperti koral pada bibir.
2. Selain gincu pusam, awda boleh gayakan glos yang berwarna lebih terang. Selepas menjamah hidangan raya pun kesan warnanya akan kekal pada bibir. Dan yang lebih menarik ia tidak akan mengeringkan bibir seperti gincu pusam.
3. Jika awda lebih gemar pemakaian gincu, pilih gincu semi pusam atau gincu yang lembap.
4. Untuk pemakaian maskara, jika boleh elakkan yang mengandungi fiber. Kerana kesan maskara fiber ini, jika dipakai terlalu lama, akan menjadikan bulu-bulu fiber berguguran di bawah mata. Awda lebih disarankan untuk menggunakan maskara kalis air daripada fiber.
5. Inginkan solekan mata berkabut? Setentunya boleh! Cuma terhadkan mainan rona-rona neutral seperti coklat atau beige. Untuk highlight mata, sapukan sedikit shimmer rona bronze di bahagian tengah-tengah kelopak mata. – Agensi



