Jika awda fikir terapi fizikal hanya mengenai rehabilitasi selepas pembedahan atau pulih daripada kemalangan, fikirkan lagi. Bagi kebanyakan orang, berjumpa ahli terapi fizikal sepatutnya mengenai pencegahan, penilaian rutin dan kekal sihat.
“Kami adalah rahsia terbaik dalam penjagaan kesihatan,” beritahu Sharon Dunn, bekas presiden Persatuan Terapi Fizikal Amerika, kepada The Associated Press (AP).
Roger Herr, Presiden APTA semasa, dan Gammon Earhart, dekan sekutu untuk terapi fizikal di sekolah perubatan di Universiti Washington di St. Louis, mengulangi mesej pencegahan Dunn dalam temu bual berasingan bersama AP.
“Kami perlu menukar imej kami dengan keluar daripada sistem terasing kami, keluar dari klinik konvensional kami,” kata Dunn, yang mengajar di LSU.
Imej profesion cenderung bersifat satu dimensi. Awda telah menjalani pembedahan lutut, belakang awda kerap memberikan masalah atau awda cedera dan telah dirujuk oleh pakar perubatan kepada ahli terapi fizikal.
Awda pergi beberapa kali, awda mendapat penilaian dan awda pulang dengan latihan yang perlu dilakukan serta nasihat tentang cara untuk bergerak dengan lebih cekap.
“Ia sebahagian besar daripada apa yang dilakukan oleh ahli terapi fizikal,” kata Earhart.
“Tetapi saya rasa ramai yang tidak faham. Mereka fikir apabila mereka mempunyai masalah perubatan utama, ahli terapi fizikal akan mengurut mereka sehingga mereka berasa lebih baik. Bukan itu perkara yang sebenarnya.”
IKUT MODEL PERGIGIAN
Ramai dalam profesion itu lebih suka memikirkan ahli terapi fizikal seperti doktor gigi; pesakit membuat temu janji untuk pemeriksaan biasa.
“Walaupun sekiranya awda tidak menghadapi sebarang masalah, awda masuk dan menjalani pemeriksaan segala-galanya,” kata Earhart. “Jika terdapat sebarang masalah yang nampaknya bakal berlaku, awda boleh mengelaknya daripada terjadi.”
Pemeriksaan boleh merangkumi sejarah kesihatan dan kesihatan semasa – aktiviti fizikal, tidur, pemakanan dan sebagainya. Ini akan diikuti dengan melihat cara awda bergerak. Ia mungkin termasuk perkara seperti penjajaran postur dan corak pergerakan semasa awda berjalan, berlari, mencapai, duduk dan berdiri. Dari segi kekuatan dan fleksibiliti, pertimbangkan ketidakseimbangan otot.
Herr ialah penyokong tegar kunjungan kesejahteraan tahunan. Untuk semua peringkat umur.
“Ahli terapi fizikal boleh dimasukkan dalam semua bahagian spektrum,” kata Herr. “Ia boleh untuk atlet muda atau atlet kelas atas, atau seseorang yang ingin mengalami penuaan dengan baik serta mampu berfungsi dan berdikari.”
FIKIRKAN PENCEGAHAN
Awda kini boleh berjumpa ahli terapi fizikal di semua 50 negeri tanpa memerlukan rujukan daripada doktor atau pakar bedah. Itu merupakan berita baik.
“Saya tidak fikir orang awam tahu mereka boleh pergi ke ahli terapi fizikal tanpa rujukan doktor,” kata Dunn.
Berita buruk untuk pemeriksaan tahunan mungkin tanda harga. Kunjungan pencegahan ini biasanya tidak dilindungi oleh insurans. Earhart menganggarkan kunjungan sedemikian di Midwest mungkin menelan belanja AS$150 daripada duit sendiri. Namun campur tangan seperti ini mungkin menjimatkan perbelanjaan – dan menambah tahun-tahun yang sihat – dalam jangka panjang.
Herr, yang berpangkalan di New York, mencadangkan kos AS$200 – AS$300 di kawasan yang lebih mahal di negara itu.
“Pembedahan dan kemalangan masih boleh berlaku, tetapi secara amnya awda boleh mengawal keadaan dengan kunjungan berkenaan,” kata Earhart. “Saya fikir jika orang lebih memahami bahawa cara mereka bergerak mungkin mendorong mereka mengalami masalah pada masa depan, mereka akan lebih cenderung untuk berjumpa ahli terapi fizikal.”
Kita semua dibina berbeza dengan variasi dalam bentuk pinggul dan sebagainya. Mungkin berguna sekiranya menilai kanak-kanak lebih awal untuk memutuskan sukan atau aktiviti yang sesuai dengan mereka. Menguji terlebih dahulu untuk mengelakkan masalah kemudian adalah kerja yang sempurna untuk ahli terapi fizikal.
“Jika kami menyaring kanak-kanak semasa mereka memilih sukan dan berkata sukan ini mungkin bukan jenis tekanan yang sesuai untuk awda, ia boleh menyelamatkan banyak kesakitan dan masalah pada masa depan,” kata Earhart.
Pelari jarak jauh harus berfikir seperti ini. Ada yang dicipta lebih cekap untuk mengelakkan kecederaan meskipun mengambil bahagian dalam aktiviti lasak sehingga berbatu-batu atau kilometer. Yang lain tidak, dan adalah baik untuk mengetahui lebih awal.
TAKUT JATUH
Jatuh – dan perasaan takut untuk jatuh – menjejas penduduk yang semakin tua. Herr berkata ahli terapi fizikal boleh membantu dengan program yang agak mudah.
“Awda mahu menunjukkan kepada orang ramai bahawa mereka boleh bangkit semula jika mereka jatuh,” kata Herr.
“Dan apabila mereka tahu mereka boleh melakukannya, ia memberi mereka keyakinan dan ia boleh membantu mengurangkan ketakutan untuk jatuh. Salah satu risiko jatuh adalah orang tidak melakukan apa-apa, jadi awda tidak bergerak dan oleh itu awda menjadi lebih teruk dan tidak berfungsi sebaiknya.”
Herr menyatakan bahawa pergerakan ‘dari lantai hingga berdiri’ melibatkan fleksibiliti, kekuatan, keseimbangan dan koordinasi selain juga perancangan.
“Ia nampak mudah bangun dari posisi baring di atas lantai untuk berdiri,” kata Herr.
“Tetapi ia adalah senaman yang bagus untuk semua kumpulan umur.”
ISU MENGENAI BERAT
Earhart menganggarkan bahawa mungkin 50 peratus pesakit terapi fizikal berada di sana kerana isu yang berkaitan dengan berat badan berlebihan.
“Seseorang tidak perlu mengalami obesiti yang teruk untuk berat badan mereka menjejaskan pergerakan mereka,” katanya. “Semakin banyak berat yang dipikul seseorang semakin tinggi bebanan pada sendi mereka.”
Earhart berkata dia melihat pesakit menjalani ‘prahabilitasi’ untuk pembedahan penurunan berat badan yang dikenali sebagai pembedahan bariatrik, juga dikenali sebagai pintasan gastrik. Ini melibatkan sistem pencernaan mengehadkan berapa banyak pesakit boleh makan, atau keupayaan mengambil kalori.
Pembedahan juga boleh melibatkan lawatan pemulihan.
Herr berkata dia memerhati pesakit obes menurunkan berat badan. Ia boleh menjadi persoalan motivasi, walaupun ia tidak selalunya semudah itu.
“Saya pernah melihat orang berubah berdasarkan peristiwa penting, seperti mempunyai anak dan mereka benar-benar mahu menjadi ibu bapa yang baik,” kata Herr.
“Mereka mahu menjadi ibu bapa yang cergas, dan perkara yang sama dengan datuk nenek. Jadi itu mendorong orang ramai untuk terlibat kerana perubahan gaya hidup.” – AP