Saturday, January 18, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rahsia yang tidak patut dibongkar

    Oleh Dhil –

    Aku selalu mendengar cerita tentang Hutan Lailai (bukan nama sebenar) di Temburong, sebuah kawasan yang sering disebut-sebut penuh misteri. Orang-orang kampung sering mengingatkan agar jangan melangkah ke dalam hutan itu selepas matahari terbenam.

    Sebagai seorang pengembara yang mencintai keindahan alam dan berjiwa skeptik, aku memutuskan untuk membuktikan bahawa semua cerita itu hanyalah mitos semata.

    “Wan, jangan cuba-cuba masuk hutan atu waktu malam,” pesan Pak Cik Samad, seorang penduduk tua di kampung berhampiran.

    “Pak Cik, aku ani orang yang suka mencabar diri. Aku percaya, semua ani cuma cerita lama untuk menakut-nakutkan orang,” balasku sambil tersenyum yakin.

    Namun, petang itu, ketika aku berdiri di pinggir hutan, pandangan mataku tertumpu pada pepohonan tinggi yang lebat. Ada sesuatu tentang hutan itu yang membuat bulu romaku meremang. Namun, rasa ingin tahu lebih kuat daripada rasa takut. Dengan langkah yang penuh keyakinan, aku melangkah masuk.

    Foto Canva

    LANGKAH MENUJU MISTERI

    Hutan itu sunyi, terlalu sunyi. Bahkan bunyi cengkerik dan unggas malam pun seakan lenyap. Setiap kali kakiku memijak daun kering, bunyi gemerisiknya terasa seperti memecah kesunyian alam. Aku menenangkan diri dengan menikmati keindahan tumbuhan hijau di sekeliling, tapi jujur, hatiku berdegup lebih cepat dari biasa.

    Ketika aku berhenti sejenak untuk meminum air dari botolku, satu suara tiba-tiba kedengaran.

    “Kau buat apa di sini?”

    Suara itu perlahan, hampir seperti bisikan, tetapi cukup jelas untuk membuatkan aku menoleh ke kiri dan kanan. Tiada sesiapa di situ.

    “Siapa?!” tanyaku, cuba menguatkan suara yang sedikit bergetar.

    Tiada jawapan. Suara itu lenyap seperti angin lalu. Aku cuba menyakinkan diri bahawa ia hanyalah suara angin yang bergema di celah pepohonan, tetapi rasa seram mula mencengkam. Langkahku menjadi semakin cepat, cuba mencari jalan keluar, tetapi peliknya, aku seperti berjalan dalam bulatan.

    KAWASAN TERLARANG

    Dalam perjalanan yang terasa tiada hujung, aku tiba di sebuah kawasan lapang. Batu-batu kecil tersusun rapi membentuk bulatan, dengan sebatang kayu tua terpacak di tengah. Ada aura pelik di kawasan itu. Bau tanah lembap bercampur dengan aroma aneh seperti kayu terbakar.

    Tiba-tiba, tanah di bawah kakiku bergetar. Suara yang mendalam dan menyeramkan memecah keheningan.

    “Buka… pintu ini.”

    Aku terpaku. Apa maksudnya? Aku tidak nampak sebarang pintu. Namun, suara itu terus bergema, semakin mendesak, menusuk hingga ke lubuk jiwaku.

    “Siapa kau? Apa yang kau mahu?” jeritku, cuba melawan ketakutan.

    Tiada jawapan, hanya getaran yang semakin kuat. Aku cuba melangkah mundur, tetapi kakiku terasa berat, seperti dicengkam sesuatu yang tidak kelihatan. Angin dingin tiba-tiba menyelubungi tubuhku, membuatkan nafasku menjadi pendek.

    KEMBALI KE REALITI

    Aku tidak ingat bagaimana aku keluar dari hutan itu. Ketika aku terjaga, aku berada di tepi sungai. Seorang lelaki tua berdiri di sisiku. Wajahnya penuh dengan kerut usia, tetapi matanya tajam menikam.

    “Kau sudah buka sesuatu yang tidak sepatutnya dibuka,” katanya dengan suara perlahan tetapi tegas.

    “Apa maksud Pak Cik?” tanyaku, bingung.

    “Jika kau mahu hidup tenang, jangan pernah kembali ke hutan atu. Ada sesuatu di sana yang tidak patut diganggu,” balasnya sebelum berlalu pergi.

    Sejak kejadian itu, hidupku tidak lagi sama. Aku sering bermimpi tentang suara-suara dari dalam tanah, seolah-olah sesuatu sedang menungguku kembali. Kadang-kadang, aku terasa seperti diperhatikan, walaupun aku berada di rumah sendiri.

    Hutan Lailai bukan sekadar cerita dongeng. Ia menyimpan rahsia yang sepatutnya dibiarkan kekal tersembunyi. Kepada mereka yang membaca kisah ini, jangan biarkan rasa ingin tahu membawa awda ke tempat-tempat yang tidak sepatutnya. Bukan semua rahsia layak dibongkar.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda