Sunday, June 30, 2024
23.3 C
Brunei

    -

    Rahul Gandhi hadapi ujian baharu

    NEW DELHI, 26 JUN – Pemimpin calon perdana menteri India yang dinanti-nantikan, Rahul Gandhi bangkit daripada kekalahan ketiga berturut-turut dalam pilihan raya dan membawa partinya keluar daripada kekacauan politik.

    Namun penganalisis masih tidak yakin sama ada lelaki berusia 54 tahun itu, keturunan dinasti yang telah memberikan India tiga perdana menteri, bersedia untuk menghadapi perjuangan seterusnya.

    Sudah pun menjadi ketua pembangkang kepada Perdana Menteri nasionalis, Narendra Modi secara tidak rasmi, Gandhi kini menyandang jawatan rasmi dalam parlimen India.

    Setiausaha Agung Parti Kongres, K C Venugopal menyatakan bahawa Gandhi akan menjadi ‘suara yang lantang untuk rakyat biasa’ dan memastikan kerajaan ‘bertanggungjawab pada setiap masa’, beritahunya kepada pemberita dalam satu kenyataan lewat kelmarin.

    Kenaikan jawatan Gandhi adalah penting kerana, selama satu dekad sebelumnya, parti Kongres yang dahulunya kuat tidak mempunyai kerusi yang cukup dalam badan perundangan untuk membolehkannya menyandang jawatan itu.

    “Ia merupakan pencapaian besar yang telah dicapai beliau dalam pilihan raya ini, beliau berjaya meyakinkan orang ramai untuk menganggapnya secara serius,” kata Sugata Srinivasaraju, seorang pengarang buku mengenai Gandhi, kepada AFP.

    “Tetapi adakah itu memadai untuk menjadi pemimpin pembangkang yang baik di dalam parlimen? Ia merupakan satu persoalan besar,” tambahnya.

    Dua penggal pertama Modi memegang jawatan sebagai Perdana Menteri menyaksikan kemenangan besar bagi Parti Bharatiya Janata (BJP), sekali gus membenarkan kerajaannya melancarkan undang-undang melalui parlimen dengan perdebatan yang ringkas.

    Puluhan rang undang-undang diluluskan dalam beberapa jam selepas ia diperkenalkan, termasuk penambahbaikan bersifat kontroversial kepada kod keadilan jenayah India pada tahun lalu. – AFP

    Rahul Gandhi (tengah) tiba di Parlimen di New Delhi pada 26 Jun. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    China pecat bekas menteri pertahanan

    BEIJING, 28 JUN - Bekas menteri pertahanan China, Li Shangfu telah dipecat daripada Parti Komunis yang memerintah kerana menyebabkan ‘kerosakan besar kepada puncanya’ melalui...