Wednesday, February 5, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rai 62 graduan cemerlang

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MAC – Seramai 62 orang graduan di bawah Skim Biasiswa Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Luar Negara dan Skim Bantuan Pinjaman Pendidikan yang berjaya memperolehi keputusan Kepujian Kelas Pertama (2019 dan 2020) telah diraikan pada Majlis Anugerah Graduan Cemerlang, hari ini.

    Majlis yang berlangsung di Dewan Goldstone, Hotel Centrepoint, Gadong itu dihadiri Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman selaku tetamu kehormat yang turut menyapaikan plak dan sijil pencapaian.

    Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh; Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad; naib canselor Universiti Brunei Darussalam (UBD), naib canselor Universiti Teknologi Brunei (UTB), timbalan setiausaha tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pendidikan.

    Majlis yang julung kalinya diadakan itu bertujuan bagi memberi pengiktirafan dan penghargaan terhadap usaha para graduan dalam mencapai kelulusan cemerlang di samping untuk menjadi inspirasi dan galakan kepada pelajar-pelajar lain agar lebih bersemangat untuk meraih kejayaan dalam pengajian mereka.

    Ketua Bahagian Biasiswa, Kementerian Pendidikan, Awang Julaihi bin Mohamat berkata, daripada 62 orang graduan yang diraikan, 40 orang graduan tamat pengajian pada 2019 dan 22 lagi tamat pengajian pada 2020.

    Beliau turut mengongsikan bahawa daripada jumlah tersebut, 52 orang graduan adalah dari universiti-universiti di United Kingdom, lima orang graduan dari Malaysia, dua orang graduan dari Australia, dua orang graduan dari Amerika Syarikat (AS) dan seorang dari Republik Singapura.

    Salah seorang graduan yang ditemui Media Permata, Awang Muhammad Hafiy Rusyduddin bin Abdul Hadi berkata, beliau tidak menyangka akan menerima anugerah graduan cemerlang pada majlis itu.

    Beliau yang merupakan graduan Sarjana Muda Sains dalam Sains Penerbangan di Embry-Riddle Aeronauctical University, AS mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Kementerian Pendidikan, ibu bapa dan semua yang mengenali beliau atas sokongan dan dorongan yang tidak putus-putus sepanjang pembelajaran selama empat tahun di AS.

    Dalam pada itu, beliau juga mengongsikan cita-cita beliau untuk menjadi seorang juruterbang di Syarikat Penerbangan Diraja Brunei. Memandangkan penularan wabak COVID-19 yang melanda seluruh dunia, cita-cita beliau terpaksa ditangguhkan kerana buat sementara ini syarikat berkenaan masih belum membukakan tawaran.

    Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman ketika menyempurnakan penyampaian plak dan sijil pencapaian kepada salah seorang graduan cemerlang pada Majlis Anugerah Graduan Cemerlang yang berlangsung di Hotel Centrepoint. – Gambar oleh Yusrin Junaidi
    Yang Berhormat Menteri Pendidikan menyampaikan anugerah kepada salah seorang pelajar cemerlang.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda