Sunday, May 11, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rai Aidilfitri dengan berhemah

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MEI – Tidak lama lagi bulan Ramadan yang mubarak ini akan berakhir dan seluruh umat Islam akan menyambut kedatangan bulan Syawal dengan meraikan Hari Raya Aidilfitri iaitu hari kemenangan setelah berjaya menunaikan ibadat puasa selama sebulan dan mengharungi perjuangan melawan hawa nafsu.

    “Sebelum kita meraikan Hari Raya, perlu diingat satu lagi kewajipan yang perlu ditunaikan dari Rukun Islam yang lima iaitu membayar zakat,” kata khatib mengingatkan perkara itu dalam khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk ‘Meraikan Aidilfitri Berpandukan Ajaran Agama Islam’ dan seterusnya menambah, membayar zakat sama ada zakat harta mahu pun zakat fitrah untuk diri sendiri dan tanggungan adalah wajib ke atas setiap orang Islam yang mencukupi syarat-syaratnya.

    Adapun waktu mengeluarkan zakat fitrah itu, jelas khatib, terbahagi kepada lima antaranya waktu wajib iaitu mulai terbenam matahari pada akhir bulan Ramadan, waktu sunat pula ialah sebelum imam mendirikan sembahyang Hari Raya.

    Manakala waktu harus iaitu dari awal bulan Ramadan, waktu makruh selepas sembahyang Hari Raya Fitrah dan waktu haram ialah setelah jatuh matahari Hari Raya.

    Khatib seterusnya menjelaskan, adapun hikmah pensyariatan zakat fitrah itu ialah untuk menyucikan jiwa orang yang berpuasa selain dengan mengeluarkan zakat fitrah juga akan menimbulkan rasa kasih sayang, kegembiraan dan keharmonian dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara terutama kepada fakir miskin dan golongan yang memerlukan.

    “Dalam meraikan dan menyambut Hari Raya Aidilfitri pula, kita perlu mengucapkan syukur ke hadrat Allah atas limpah kurniaNya kerana mengurniakan nikmat kesihatan hingga dapat menunaikan ibadat puasa

    dengan sempurna malah amalkan sifat kesederhanaan bagi persiapan Hari Raya dan mengelakkan pembaziran,” tambah khatib lagi.

    “Sambutlah Aidilfitri dengan berhemah dan jangan berbelanja hingga melebihi daripada kemampuan yang akhirnya akan menyusahkan dan membebankan diri sendiri,” jelasnya lagi.

    Menurutnya lagi, tujuan utama sambutan Hari Raya Aidilfitri itu adalah bagi meraikan kemenangan hamba-hamba Allah yang telah berjaya melaksanakan ibadat puasa dengan penuh keimanan dan ketakwaan.

    “Sambutan yang dilakukan juga biarlah mengikut ajaran dan landasan agama antaranya, pada malam Hari Raya pertama disunatkan menghidupkan malam tersebut dengan laungan takbir, bacaan Al-Quran, berzikir, berdoa dan sebagainya,” jelasnya.

    Khatib seterusnya menegaskan, bukannya meraikan malam tersebut dengan perkara yang membahayakan dan memudaratkan apa tah lagi dengan membuat perkara yang mengganggu ketenteraman orang lain.

    “Elakkan membuat persiapan pada saat akhir hingga larut malam sehingga menyebabkan ada yang tidak sempat mendirikan sembahyang Fardu Subuh dan sembahyang sunat Hari Raya Aidilfitri kerana tidak terbangun dan keletihan,” tegas khatib.

    Pada pagi Hari Raya, kata khatib, disunatkan mandi dengan niat mandi sunat Aidilfitri selain memakai bau-bauan harum, membersihkan diri dengan bergunting rambut, memotong kuku dengan memakai pakaian yang paling elok kerana hari tersebut merupakan hari untuk berhias-hias dan berelok-elok.

    Sebelum ke masjid untuk sembahyang Hari Raya pula, disunatkan memakan buah kurma dengan bilangan yang ganjil di mana ini yang diamalkan oleh Rasulullah SAW sebelum ke masjid mendirikan sembahyang Hari Raya Aidilfitri.

    Perkara paling penting dan utama dalam kita menyambut Hari Raya daripada perkara-perkara sunat lainnya adalah mendirikan sembahyang sunat Hari Raya dan disunatkan juga mendoakan dan mengucapkan tahniah antara satu dengan lain seperti ‘Semoga Allah menerima daripada kita dan daripada engkau’.

    Terdahulu, khatib di awal khutbahnya turut mengajak jemaah untuk sama-sama mendoakan agar anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) sentiasa mendapat rahmat dan hidayah serta sentiasa mendapat pertolongan dan perlindungan daripada Allah SWT sempena memperingati Hari Ulang Tahun ABDB yang ke-58 tahun, hari ini.

    Jelas khatib, ABDB mempunyai tugas yang murni iaitu mempertahankan negara daripada segala ancaman dan pencerobohan musuh yang boleh mengganggu gugat keamanan, kesejahteraan dan kedaulatan negara.

    “Semangat juang mempertahankan negara ini bukan hanya perlu ada pada anggota tentera saja tetapi ia perlu ada setiap anggota masyarakat kerana negara memerlukan rakyat dan penduduk yang mempunyai semangat patriotik yang tinggi dan sanggup berjuang dan berkorban bagi mempertahankan keamanan dan keselamatan agama, bangsa dan negara,” ujarnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda