Thursday, December 26, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rai Hari Kebangsaan M’sia di tapak laungan ‘Merdeka’

    KUALA LUMPUR – Dataran Merdeka di sini tetap menjadi tumpuan orang ramai untuk merasai kemeriahan Sambutan Hari Kebangsaan 2024 meskipun tidak menjadi lokasi bagi acara perarakan dan perbarisan sempena hari bersejarah Malaysia.

    Tinjauan Bernama mendapati kawasan itu tidak lengang dengan orang ramai yang datang mengenakan pelbagai baju bertemakan Hari Kebangsaan sambil berswafoto berlatar belakangkan bangunan bersejarah seperti Bangunan Sultan Abdul Samad sebagai kenangan.

    Demi menyemarakkan ‘jiwa merdeka’ dengan lebih bermakna, seorang suri rumah sanggup meredah perjalanan selama tiga jam dari Perak ke Dataran Merdeka semata-mata untuk mencipta kenangan di lokasi penuh bersejarah itu bersama keluarganya.

    Biarpun terpaksa bertolak seawal 8 pagi, Nurizan Jaffor Ghani, 34, berkata beliau tetap bersemangat apatah lagi dapat menyambut hari ulang tahun perkahwinannya yang ke-13 pada tarikh keramat itu.

    “Ini merupakan kali pertama saya datang ke sini untuk sambut Hari Kebangsaan dengan suami dan tiga anak saya sebab nak rasakan sendiri suasana yang berlatar belakangkan bangunan lama. Kami sempat ambil peluang berswafoto sebagai tanda kenangan di tempat ikonik ini,” katanya ketika ditemui di Dataran Merdeka, hari ini.

    Mohamad Nazrin Zainon Abdidin (kanan), mengambil gambar isteri, Nurizan Jaffor Ghani dan anak-anaknya yang memakai pakaian bercorak Jalur Gemilang sempena Hari Kebangsaan ke-67 ketika tinjauan di Dataran Merdeka, pada 31 Ogos. – Bernama
    Suasana acara perbarisan dan perarakan pada sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 bertemakan “Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka” di Dataran Putrajaya 31 Ogos. Perarakan dan persembahan tahun ini dijayakan 17,262 peserta, 67 kontinjen, 36 pasukan pancaragam, 534 aset Angkatan Tentera Darat dan Tentera Udara Diraja Malaysia serta 100 haiwan dalam perkhidmatan. – Bernama

    Bagi menzahirkan lagi semangat cintakan negaranya, Nurizan mengenakan tudung bertemakan Jalur Gemilang manakala anak-anaknya turut mengenakan pakaian bercorak bendera Malaysia hingga menarik perhatian pelancong luar untuk bergambar.

    Sementara itu, Azmi Mansor, 68, juga mencuri perhatian umum apabila kereta Proton Tiara berusia 28 tahun miliknya yang diparkir di tepi jalan menjadi tempat orang awam bergambar sebagai kenangan apabila sekeliling kereta itu dihiasi dengan jalur gemilang.

    “Pak cik cat sendiri kereta ini selama 12 jam guna cat minyak manakala sekeliling kereta dihiasi dengan bendera kecuali bahagian cermin dan lampu,” katanya sambil berkongsi modal dikeluarkan adalah RM800.

    Bagi Dr Norshidah Abdul Moti, 45, walaupun tidak berkesempatan merasai kemeriahan sambutan hari kemerdekaan di Dataran Putrajaya seperti tahun sebelumnya, beliau tetap mengambil peluang ke Dataran Merdeka untuk bergambar sebagai kenangan dengan keluarganya.

    “Biasanya saya akan sambut di lokasi perarakan, tetapi tahun ini tidak sempat tempah hotel sebab itu saya hanya raikan di sini lagi pun ia dekat dengan rumah,” katanya sambil melahirkan rasa syukur dengan keharmonian yang dikecapi hingga kini.

    Senada dengannya, Paizah Abdul Hamid, 62, berkongsi kehadirannya di bangunan penuh bersejarah itu bukan sahaja mengimbau saat awal kariernya menjadi peguam, malah membuatkan beliau lebih terpanggil untuk menyumbang selagi ada kudrat kepada masyarakat supaya dapat hidup dengan selesa.

    “Cara nak tunjukkan sayang kepada negara bukan sahaja dengan sambutan tetapi kita juga boleh beri semula kepada masyarakat dengan kerja-kerja amal tanpa kira agama seperti gotong-royong, ikut kemampuan kita. Mana kita boleh bantu kita bantu, uar-uarkan tentang negara kita,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda