Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rai Hari Keputeraan Maharaja Jepun

    Oleh Imelda Groves HA

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Nov – Kedutaan Jepun di Brunei Darussalam turut sama-sama meraikan Ulang Tahun Hari Keputeraan Maharaja Jepun ke-84 tahun dengan mengadakan majlis resep-si yang berlangsung di Dewan Indera Samudra, The Empire Hotel & Country Club, Jerudong, di sini, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Pendidikan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman dan isteri, Datin Hajah Asmah binti Haji Abdul Rahman.

    Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Motohiko Kato dalam ucapan alu-aluannya mengambil kesempatan untuk menyatakan penghargaan beliau atas usaha Brunei sebagai negara penyelaras ASEAN untuk Jepun dari tahun 2015 hingga 2018.

    “Jepun berharap akan terus memperkukuhkan kerjasama dalam menyumbang kepada kestabilan dan kemakmuran serantau. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada ulang tahun ke-50 penubuhan ASEAN tahun ini,” ujarnya.

    Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi dan datin serta TYT Motohiko Kato semasa upacara memotong kek sempena meraikan Ulang Tahun Hari Keputeraan Maharaja Jepun ke-84 tahun. – Gambar oleh Bahiyah Bakir

    Beliau turut menyatakan bahawa Jepun telah mengukuhkan persahabatan dan kerjasama dalam pelbagai bidang dengan rakyat ASEAN dan berharap untuk terus mempromosikan hubungan kukuh.

    Dalam hal ini, tambahnya lagi, Jepun telah menyediakan panel foto ‘Kerjasama Jepun dengan ASEAN dan Brunei sejak tahun 1960-an’ di majlis berkenaan.

    “Dari segi ekonomi, kedua-dua buah negara mengekalkan hubungan yang kukuh. Brunei menyokong keselamatan tenaga Jepun dengan memberikan kami sejumlah besar gas asli cecair. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Brunei kerana menyokong kami dalam usaha ini selama 40 tahun yang lalu,” ujarnya.

    Tuan Yang Terutama berkata bahawa beberapa buah syarikat Jepun telah melabur di Brunei dan menjana pekerjaan serta menyumbang kepada kepelbagaian ekonomi Brunei sambil menyatakan beberapa syarikat yang terdapat di negara ini.

    Dalam ucapannya itu, beliau turut menyentuh mengenai pertukaran belia, sukan dan pendidikan antara Jepun dengan Brunei yang sangat aktif dan telah disokong ramai orang dan organisasi yang hebat.

    Selain itu, beliau juga menyentuh mengenai beberapa aktiviti yang bakal diadakan di Jepun dan di negara ini dalam masa terdekat dalam usahanya untuk memperkenalkan Jepun di negara ini sambil mengukuhkan lagi hubungan dua hala yang telah lama terjalin.

    Majlis berkenaan diteruskan dengan pelbagai persembahan kebudayaan, sejurus selepas upacara memotong kek yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi dan datin serta TYT Motohiko Kato.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda