Monday, December 23, 2024
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rai hubungan diplomatik Brunei-Indonesia

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OKT- Sempena Hari Kemerdekaan Republik Indonesia ke-79 dan sempena meraikan hubungan diplomatik Brunei dan Indonesia, Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di sini mengadakan majlis resepsi di Hotel Antarabangsa Rizqun, kelmarin.

    Hadir mewakili kerajaan Negara Brunei Darussalam ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dato Seri Paduka Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos. Turut hadir ialah Kuasa Usaha Sementara KBRI, Irwan Iding.

    Dalam ucapan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Indonesia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dr Achmad Ubaedillah yang dibacakan oleh Irwan Iding telah menyentuh mengenai hubungan dua hala dalam pelbagai bidang antara Brunei dan Indonesia yang semakin rapat khususnya dalam bidang diplomatik, perdagangan, pendidikan, politik, sekuriti, pertahanan dan banyak lagi.

    Tuan Yang Terutama juga berkata, sempena meraikan 40 tahun hubungan diplomatik antara Indonesia dan Brunei pada tahun ini, hubungan dua hala antara Indonesia dan Brunei telah mencapai tahap baharu, ditandai dengan acara penting dan kerjasama yang semakin mendalam, menunjukkan kekuatan dan dinamik perkongsian kedua-dua buah negara.

    Dua hari lalu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan berangkat ke majlis angkat sumpah Presiden baharu Indonesia yang mencerminkan hubungan rapat antara kedua-dua negara.

    Dato Seri Paduka Mohd Riza dan Irwan Iding bersama-sama menyempurnakan pemotongan nasi tumpeng. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Antara yang hadir semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Sementara itu, antara tahun 2018 dan 2022, perdagangan antara Indonesia dan Brunei meningkat setiap tahun dengan jumlah perdagangan dua hala hampir AS$1 bilion pada tahun 2022.

    Tahun lalu, jumlah perdagangan kita mengalami penurunan, tetapi tahun ini dijangka akan meningkat semula.

    Data menunjukkan bahawa jumlah perdagangan dalam tujuh bulan pertama tahun ini sudah melebihi tempoh yang sama tahun lalu.

    Manakala, tahun ini, perhubungan udara dipertingkatkan dengan pembukaan laluan penerbangan baharu antara Jakarta dan Bandar Seri Begawan yang dioperasi oleh Indonesia Air Asia, berharap laluan penerbangan baharu itu akan meningkatkan kerjasama perdagangan dan pelancongan.

    Satu lagi bukti kerjasama yang erat antara kedua-dua buah negara adalah dalam bidang pendidikan, di mana baru-baru ini 30 delegasi dari universiti-universiti Indonesia iaitu rektor, pensyarah, pelajar datang ke Brunei untuk menjalankan pelbagai kerjasama, termasuk pertukaran pelajar, pertukaran pensyarah, penyelidikan bersama, seminar bersama dan banyak lagi.

    Begitu juga, delegasi dari kampus Brunei juga telah melawat Indonesia.

    Tuan Yang Terutama yakin bahawa Brunei dan Indonesia akan memperoleh banyak kerjasama lagi dalam bidang pendidikan dan lainnya pada masa akan datang.

    Majlis resepsi dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan kedua-dua buah negara dan penyerahan cenderahati kepada tetamu kehormat.

    Majlis diteruskan dengan sesi memotong nasi tumpeng tradisi turun temurun Indonesia dan majlis seterusnya diserikan dengan beberapa persembahan tarian tradisional Indonesia pelbagai bangsa.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda