Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 NOV – Dalam memastikan sekuriti makanan negara sentiasa terjamin, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) terus berusaha melaksanakan pelbagai strategi dan program bagi meningkatkan pengeluaran hasil pertanian, perikanan dan agrimakanan serta untuk meningkatkan nilai tambah produk-produk berkenaan.
Sehubungan dengan itu, Sambutan Hari Peladang, Petani, Penternak dan Nelayan ke-11 telah diadakan di ruang letak kereta, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas hari ini.
Hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di KSSUP, Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab, Timbalan Setiausaha Tetap di KSSUP, Haji Halidi bin Haji Mohd Salleh, ketua-ketua jabatan, pegawai dan kakitangan dari jabatan-jabatan di bawah KSSUP serta peladang, petani, penternak dan nelayan.
Sambutan berkenaan menyaksikan penjualan produk oleh pengusaha dan peladang tempatan dan jualan hasil produk perikanan serta juga menyaksikan Jualan Gerai Hujung Minggu Pasar Kitani.

Dalam temu bual ringkas bersama Media Permata, Pemangku Pengarah Pertanian dan Agrimakanan, Hajah Masliana Yuliah binti Abdullah menyatakan bahawa Sambutan Hari Peladang, Petani, Penternak dan Nelayan diadakan setiap 1 November sejak 2010 bagi mengenang jasa dan usaha serta sumbangan yang diberikan oleh para peladang, petani, penternak dan nelayan dalam menjana keperluan makanan negara serta kepada pembangunan ekonomi negara.
Beliau menyatakan bahawa Majlis Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah, Membaca Surah Yasin, Membaca Doa Kesyukuran dan Sembahyang Fardu Asar berjemaah telah diadakan kelmarin bagi memperingati sambutan berkenaan di Masjid Ash-Shaliheen dengan harapan supaya peladang, petani, penternak dan nelayan kita akan dapat meningkatkan pengeluaran hasil dari tahun ke tahun.
Sementara itu, mengulas mengenai Pasar Kitani, Hajah Masliana Yuliah menerangkan bahawa lebih 50 orang pengusaha tempatan telah menyertai pasar jualan itu yang diadakan setiap minggu bagi memberikan peluang kepada pengusaha tempatan termasuk petani dan peladang di mana ia terus mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai.
Beliau menyatakan bahawa pasar jualan itu mendapat sambutan yang sungguh menggalakkan daripada orang ramai yang membuat pembelian produk-produk pertanian segar pengusaha tempatan serta juga produk makanan dan minuman yang turut dijual pada jualan pasar berkenaan.
Beliau mendedahkan bahawa Pasar Kitani yang bermula dari pukul 6 pagi hingga 11 pagi itu mendapat sambutan daripada para pengunjung di mana ia pernah mencecah hampir 2,000 orang pengunjung sehari di mana mereka yang berkunjung termasuk yang menyertai kegiatan riadah di sekitar kawasan berkenaan dan berkunjung untuk membeli jualan sayur-sayuran, makanan dan minuman yang dihasilkan oleh pengusaha tempatan.
Pasar jualan itu dirancang untuk terus dilaksanakan dan berharap ia akan terus mendapat sokongan daripada orang ramai yang datang untuk membeli produk hasil keluaran pengusaha tempatan.
Manakala itu, bagi acara sambutan berkenaan, penjualan produk hasil-hasil industri perikanan juga disertai oleh 11 pengusaha tempatan dari industri pemprosesan makanan laut serta juga satu pengusaha yang menjual produk udang segar pada acara berkenaan.