Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rai majlis perpisahan Duta Rusia

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 April – Hubungan dua hala dan persahabatan di antara Negara Brunei Darussalam dan Rusia terus berkembang serta diperkukuhkan menerusi pelbagai pertukaran dua hala.

    Ia termasuk pertukaran lawatan delegasi peringkat tinggi, kerjasama dalam bidang pertahanan dan sekuriti, pendidikan, ekonomi serta kebudayaan seperti pameran fotografi, Traditions of Islam in Russia, yang mengetengahkan warisan reka binaan, gaya hidup, tradisi dan adat resam komuniti Islam Rusia.

    Selain itu, pengecualian bersama keperluan visa yang ditandatangani antara kerajaan Negara Brunei Darussalam dan kerajaan Rusia dipercayai akan mengembangkan lagi perniagaan, pelancongan, kebudayaan dan pertukaran pendidikan serta hubungan di antara rakyat kedua-dua buah negara.

    Perkara itu dinyatakan oleh Duta Kesultanan Oman ke Negara Brunei Darussalam selaku Dekan Kor Diplomatik, Tuan Yang Terutama Sheikh Ahmed bin Hashil Al-Maskari ketika berucap pada Majlis Makan Tengah Hari Perpisahan bagi Duta Rusia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Vladlen Semivolos yang menamatkan perkhidmatan di Restoran Horizons, ibu negara, hari ini.

    TYT Sheikh Ahmed bagi pihak Kor Diplomatik turut menyatakan penghargaan kepada TYT Vladlen Semivolos serta isteri atas sumbangan mereka bukan sahaja kepada usaha mengeratkan hubungan dua hala di antara Brunei dan Rusia tetapi juga kerja-kerja dan sumbangan yang diberikan kepada pelaksanaan pelbagai aktiviti yang dikendalikan oleh kor berkenaan.

    TYT Vladlen Semivolos dan isteri bergambar ramai bersama Kor Diplomatik. – Gambar oleh Muiz Matdani

    Sementara itu, TYT Vladlen Semivolos menyatakan bahawa sepanjang perkhidmatannya di Brunei, hubungan persahabatan dan kerjasama di antara Brunei dan Rusia terus diperkukuhkan dan dipertingkatkan dalam pelbagai bidang termasuk kebudayaan, sukan dan pendidikan.

    Kedua-dua buah negara, tambahnya lagi, turut meningkatkan lagi interaksi dalam bidang pertahanan dan keselamatan, meningkatkan perdagangan dua hala dan pertukaran pelancong.

    Beliau juga menyatakan pengalaman selaku duta Persekutuan Rusia ke Negara Brunei Darussalam banyak memberikan kenangan baginya dan membantunya untuk melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan terbaik.

    TYT Vladlen Semivolos menyembahkan penghargaan kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerajaan Baginda atas kerjasama dan sokongan yang diberikan kepadanya sepanjang tempoh penugasannya sebagai duta Persekutuan Rusia ke Negara Brunei Darussalam.

    Beliau juga amat menghargai persahabatan dan kemesraan yang ditunjukkan kepada dirinya serta rakyat Rusia yang menetap dan berkhidmat di Brunei di mana melalui interaksi itu telah mengukuhkan dan mengeratkan lagi persahabatan di antara kedua-dua buah negara.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda