Rai penghujung Syawal dengan normal baharu

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JUN – Walaupun Syawal sudah pun di penghujungnya, namun sambutan pada hari-hari terakhir terus diadakan dengan kegiatan sosial yang terhad bersama keluarga.

Wartawan Media Permata berkesempatan menjenguk perjumpaan sebuah keluarga yang meraikan Sambutan Hari Raya Aidilfitri pada hari kedua terakhir Syawal.

Menurut mereka, walaupun Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini agak berbeza disebabkan penularan wabak COVID-19, namun ia tetap dapat dimeriahkan dengan normal baharu.

Sambutan Hari Raya dalam kalangan keluarga terdekat adalah antara peraturan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan yang tidak melebihi 30 orang bagi menghindari kemungkinan jangkitan wabak COVID-19, dan sejak 1 Syawal sehingga ke hari ini, kebanyakan ahli keluarga hanya mengadakan rumah terbuka untuk kalangan keluarga terdekat dan tidak membukakan untuk semua.

Pengiran Hajah Hadiah binti Pengiran Haji Besar ketika ditemui berkata, “Walaupun negara kita tidak terkecuali dengan penularan wabak COVID-19, namun terdapat banyak hikmah daripada keburukannya.”

Penghujung Syawal tetap diraikan bersama keluarga sahaja tahun ini.

Antaranya rumah terbuka yang merupakan tradisi untuk keluarga beliau bermula 9 pagi hingga 10 malam. Sudah tentu acara berkenaan memerlukan perbelanjaan yang tinggi, namun tahun ini, beliau mengadakannya secara sederhana sahaja. Walaupun beberapa batasan kegiatan sosial masih dikuatkuasakan, Haji Junaidi bin Haji Sulong bersyukur kerana jumlah anggota keluarga anak-anaknya bersama cucu tidak melebihi 30 orang.

Pengiran Hadijah binti Pengiran Haji Besar pula berkata bahawa detik-detik terakhir bulan Syawal teramat manis bagi mereka kerana terubat rindu kesemua anggota keluarga.

“Secara kebetulan, kami bukan sahaja dapat menyambut Hari Raya bersama, tetapi juga sambutan Hari Bapa yang disambut di seluruh dunia,” ujarnya.

Awang Aizen Syamsiah binti Haji Puasa, 38, pula berkata, Sambutan Hari Raya tahun ini memang sangat berlainan dengan peraturan penjarakan sosial.

“Penularan wabak covid-19 memang mempunyai hikmahnya, ia mengeratkan lagi hubungan antara kami sekeluarga,” tambah beliau.