Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rai warisan masakan Sri Lanka

    MALAYSIA – Perjalanan kulinari atau masakan Sri Lanka di sebuah kedai makan di Kuala Lumpur, bermula dengan semangkuk kecil rasam untuk membangkitkan selera pengunjung. Tidak seperti rasam biasa, versi sup bersusu yang lazat dan luar biasa ini mempunyai rasa sedikit masam tetapi amat berperisa, dengan beberapa mangkuk boleh dihabiskan dengan mudah.

    Potongan ikan bersaiz bola golf menampilkan rasa kerangupan dan kelembutan yang seimbang dan sempurna. Dihasilkan daripada ikan tenggiri yang dihiris dan rempah-ratus aromatik, rasa bebola ikan itu semakin sedap apabila dicecah dalam sos bawang yang lazat.

    Pengunjung juga boleh menikmati sajian istimewa Kari Isi Ketam, yang amat popular disebabkan rasa pedasnya. Potongan isi ketam yang manis dipenuhi kuah kari yang sedikit berkrim dan mantap, hidangan istimewa ini mampu menyemarakkan selera.

    Isi ketam telah dikeluarkan dari cangkerang, jadi hidangan itu boleh dinikmati sepenuhnya tanpa perlu mengotorkan tangan.

    Turut bersaing untuk mendapatkan perhatian penggemar makanan ialah Cef Siva’s Tiger Prawns Negombo, dinamakan sempena destinasi peranginan pantai di Sri Lanka yang terkenal dengan makanan laut dan tradisi memancing kaedah lama. Disajikan dalam kuah kari yang pekat, udang harimau yang besar dan berair amat menyelerakan dan membuktikan kehebatan masakan cef.

    Set menu yang disediakan khas untuk dua orang. – ANN/The Star
    Isi ketam dengan kuah kari. – ANN/The Star
    Appam manis ditaburi gula aren. – ANN/The Star
    Roti Kothu yang disajikan di tepi meja. – ANN/The Star

    Roti Kothu Sri Lanka yang sangat digemari telah disediakan di tepi meja. Kedai makan itu menawarkan kothu yang diperbuat daripada corong tali, roti atau puttu (nasi kukus yang dikisar berbentuk silinder dilapisi dengan kelapa parut) dengan pilihan-pilihan seperti ayam, kambing, makanan laut atau vegetarian.

    Roti kothu dan makanan laut yang dihidangkan kepada pelanggan telah dimasak dengan cekap oleh Sivarajah dalam periuk batu yang dipanaskan.

    Hidangan itu mempunyai rasa asap dan hangus di samping campuran perisa serta tekstur yang menyelerakan menyerupai char kway teow.

    Dipercayai baik untuk penghadaman, tinggi serat serta kaya dengan kalsium dan zat besi, lenggai daripada pokok Moringa telah diubah menjadi Kari Paha Ayam yang terkenal. Pengunjung seronok mengikis pulpa lembut dan menambah kuah kunyit yang pekat di atas nasi.

    Bagi yang belum tahu, set menu kedai makan itu menjadi pengenalan hebat kepada daya tarikan masakan Sri Lanka.

    Ia menampilkan jamuan yang memaparkan dulang tenunan bulat yang dipenuhi dengan sedikit hidangan sampel Sothi Ikan, Varuval Udang, Ayam Devilled, Kari Daging Kambing, Kari Gajus Paal (brinjal), Brinjal Moju (acar), Nethili (ikan bilis kering) Sambol, Vallarai (daun pegaga) Sambol Lobak Merah, Papadam dan Cili.

    Selain itu, pelanggan juga boleh menikmati dan menemui gabungan rasa dan tekstur yang rumit dengan menggabungkan tawaran yang menarik dengan Nei Soru (nasi minyak sapi) dan corong tali.

    Melengkapkan set adalah pencuci mulut Appam Manis yang lembut dan gebu, ditaburi dengan gula aren.

    Perjalanan gastronomi Sri Lanka yang lazat berakhir dengan Wattalappam, iaitu puding kastard yang terdiri daripada santan kukus klasik, telur dan rempah ratus yang dimakan bersama gula jaggery. Ia merupakan perjalanan kulinari yang sempurna untuk meraikan warisan yang kaya dan pelbagai rasa Sri Lanka. – ANN/The Star

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda