Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 APRIL – Dalam menyemarakkan bulan suci Ramadan, Kumpulan Ikhwanul Mahabbah dengan kerjasama Komuniti Sukarelawan, Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Panchor Mengkubau telah mengungkayahkan majlis khatam Al-Quran yang juga bersempena dengan Nuzul Al-Quran, baru-baru ini.
Majlis yang diadakan di salah sebuah kediaman ahli jawatankuasa itu turut diserikan dengan penyampaian sumbangan kepada 60 orang anak yatim.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan menyempurnakan penyampaian sumbangan ialah Pemangku Penghulu Mukim Mentiri, Pengiran Haji Ismail bin Pengiran Haji Ibrahim yang sekali gus mengetuai pembacaan Surah Al-Fatihah sebelum memulakan majlis pembacaan surah-surah lazim.
Manakala itu, bacaan Doa Khatam pula telah dipimpin oleh Awang Faidil Rosemady bin Mohammad.
Turut hadir ialah Pemangku Ketua Kampung RPN Kampung Panchor Mengkubau, Awang Hilmie bin Haji Ahmad.
Majlis keagamaan sedemikian merupakan salah satu kegiatan tahunan yang mana bertujuan bagi sama-sama meraih ganjaran pahala yang berlipat ganda di bulan yang penuh kemuliaan ini lebih-lebih lagi dalam mencintai pembacaan Kalam Allah.
