Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 NOV – Istiqamah membaca Al-Quran menjadi amalan yang membentuk banyak manfaat mulia selain mendekatkan diri kepada Allah SWT sekali gus merebut pahala yang berlipat ganda.
“Amalan ini juga menambah ilmu serta membawa keberkatan dalam kehidupan, dan ibadah membaca secara berjemaah juga sudah tentu dapat mengeratkan lagi ukhuwah Islamiah kalangan jemaah sekali gus memakmurkan masjid.”
Perkara itu dijelaskan oleh Ketua Kampung Sungai Besar, Kampung Serdang dan Kampung Sungai Belukut, Leftenan Kolonel (B) Haji Zaini bin Haji Damit pada Majlis Khatam Al-Quran bagi Jemaah Tadarus Al-Quran Subuh Masjid Kampung Sungai Besar, hari ini.
Turut menyertai majlis berkenaan, Penghulu Mukim Kota Batu, Awang Rasli bin Taram dan Penasihat Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Sungai Besar, Haji Mohidin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dan bacaan Surah Ad-Dhuha sehingga Surah An-Nas yang diketuai oleh Awang Abdul Rahim bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Tamin.
Doa Khatam dan seterusnya Doa Tahlil dipimpin oleh Imam Masjid Kampung Sungai Besar, Awang Muhammad Hazman bin Haji Mohd Hairol Azme.
Majlis bagi menzahirkan kesyukuran selepas tamatnya bacaan 30 juzuk Al-Quran itu juga merupakan salah satu ibadah bagi jemaah berkenaan yang mensasarkan ‘Satu Bulan Sekali Khatam Al-Quran’.