Friday, April 26, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Raih keberkatan bulan Ramadan

    Oleh Nurdiyanah R.

    Tanpa terasa, kini sudah tiba bulan penuh mulia, bulan di mana Allah SWT melimpahkan rahmat dengan pelbagai fadilat kepada umatNya yang khusyuk dan tawaduk serta yang benar-benar ingin meraih pahala berlipat ganda demi mengejar hari kemenangan di dunia dan juga akhirat.

    Itulah Ramadan, bulan suci yang lebih baik daripada 1,000 bulan.

    ‘Syukur Alhamdulillah’, itulah kalimat yang pantas diungkapkan bagi kita yang masih dianugerahkan pelbagai nikmat seperti rezeki kesihatan yang baik.

    Dengannya kita telah pun diberi peluang keemasan untuk dipertemukan lagi dengan bulan yang suci dan penuh keampunan ini di mana umat Islam diwajibkan berpuasa di bulan Ramadan, sekali gus meningkatkan amal ibadah kepada Yang Maha Pencipta sekalian alam.

    Sebagai salah satu kewajipan yang terkandung dalam Rukun Islam kelima, umat Islam mestilah menahan diri daripada makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa mulai dari terbit fajar sadik hingga masuk matahari dengan niat dan syarat-syarat tertentu.

    Jemaah Islam Pakistan mengerjakan sembahyang Tarawih pada malam pertama bulan puasa Ramadan di sebuah masjid di Islamabad pada 22 Mac. – AFP
    Gambar fail menunjukkan orang ramai terutama masyarakat Islam di Brunei semasa berkunjung ke Bazar Ramadan untuk membeli juadah bersungkai.
    Malam-malam di sepanjang bulan Ramadan disemarakkan lagi dengan acara-acara keagamaan seperti tadarus Al-Quran bagi meraih ganjaran pahala berlipat ganda.

    Kewajipan ini jelas terbukti dalam kitab suci Al-Quran melalui surah Al-Baqarah, sebagaimana tafsirnya dalam ayat 183: ‘Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang sebelum kamu supaya kamu bertakwa’.

    Mendidik jiwa ke arah kebaikan

    Ibadah puasa di bulan Ramadan bukan hanya melatih diri untuk menahan lapar dan dahaga, namun ia juga mendidik diri bagi meningkatkan dan memperkasakan segala amal kebajikan kita dari semasa ke semasa.

    Ini kerana bulan yang memiliki limpahan pahala dan kasih sayang Allah SWT ini pastinya amat dirindui oleh orang-orang mukmin kerana hadirnya membawa seribu satu rahsia kelebihan dan kebaikan.

    Sebagaimana maksud daripada sabda Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Tabrani dan Baihaqi: ‘Sekiranya hamba-hamba Allah mengetahui apa yang ada dalam bulan Ramadan, sudah tentu mereka bercita-cita supaya bulan Ramadan berpanjangan selama setahun.’

    Antara amal ibadah yang perlu dilakukan di bulan yang penuh kemuliaan ini ialah memperbanyakkan membaca Al-Quran, berzikir, mengerjakan sembahyang fardu berjemaah di masjid, qiamulail dan sembahyang sunat, membaca tahlil, dan juga melakukan aktiviti amal seperti bergotong-royong membersihkan tanah perkuburan serta memperbanyakkan amalan bersedekah kepada yang memerlukan.

    Selain itu, kita juga perlu menerapkan adab-adab dalam diri sepanjang menjalani ibadah puasa seperti menjaga diri daripada melakukan perkara-perkara yang diharamkan ketika berpuasa, antaranya menjaga pandangan, pendengaran, percakapan, perbuatan daripada perkara-perkara yang diharamkan dan sia-sia.

    Kesemua ini pastinya mampu mendidik diri kita untuk menjadi umat yang memahami erti kesabaran dan keinsafan serta ketakwaan demi memperoleh keredaan Allah SWT.

    Mengeratkan nilai silaturahim

    Menunaikan amalan ibadah sepanjang bulan Ramadan juga mampu memberikan hikmah yang begitu besar dalam institusi kekeluargaan di mana kita dapat mengeratkan dan mengukuhkan lagi hubungan kasih sayang dan silaturahim antara satu sama yang lain, di samping saling memperingati ahli keluarga demi memanfaatkan kelebihan pada bulan yang penuh ganjaran ini.

    Antara aktiviti kekeluargaan yang lazim dilaksanakan pada bulan penuh rahmat ini adalah ketika berbuka dan bersahur.

    Amalan ini secara tidak langsung mampu mengeratkan hubungan kekeluargaan melalui makan bersama.

    Selepas berbuka, ahli keluarga pula bersama-sama mengerjakan sembahyang fardu dan sembahyang Sunat Tarawih sama ada di masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat mahupun di kediaman masing-masing dan juga diselajurkan dengan bertadarus Al-Quran.

    Dengan adanya semangat dalam mengerjakan amal ibadat bersama ini, ia setentunya dapat mengukuhkan hubungan kekeluargaan yang sekian lama terjalin.

    Inilah budaya Islam yang seharusnya diamalkan dalam kehidupan seharian bagi mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga.

    Bersama meraih rezeki

    Dalam pada itu, kemunculan bazar mahupun gerai-gerai secara kecil-kecilan atau besar-besaran tidak kira di kawasan bandar mahupun sekitar kampung-kampung di negara ini turut memeriahkan lagi suasana bulan Ramadan untuk sama-sama meraih manfaat dalam mencari rezeki yang halal di samping menyediakan cita rasa variasi juadah bagi berbuka.

    Apa yang penting, sebagai peniaga, pastikan ciri-ciri berniaga yang baik dipatuhi iaitu bersifat jujur dan amanah, tidak melakukan penipuan, misalnya semasa menimbang berat barangan dan tidak terlalu mementingkan keuntungan secara berlebihan.

    Hal ini amat penting agar perniagaan yang dijalankan akan bertambah maju dan berkembang serta mampu meningkatkan keberkatan, keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah SWT.

    Ramadan yang tiba sekali setahun ini, pastinya membawa sebesar-besar rahmat dan keberkatan kepada seluruh umat Islam untuk menyucikan jiwa, diri dan akhlak daripada sifat-sifat yang keji yang bukan sahaja memberikan implikasi negatif kepada diri, bahkan keluarga dan masyarakat.

    Oleh itu, tersangatlah rugi jika kita tidak merebut peluang itu, dan membiarkan peluang itu terlepas begitu sahaja.

    Dengan tulus ikhlas, kami dari Media Permata ingin mengucapkan selamat menunaikan ibadah puasa kepada seluruh umat Islam di mana sahaja mereka berada dan semoga pelaksanaan ibadah pada tahun ini sebagai pencetus sinar untuk kita semua sentiasa terus istiqamah dalam berbuat amal kebajikan dalam kehidupan sehari-hari.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...