Oleh Yusrin Junaidi & Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 MAC – Bagi meraih keberkatan serta ganjaran pahala yang berlipat ganda daripada Allah SWT sempena bulan Ramadan, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dan Jabatan Kemajuan Pelancongan telah mengendalikan Majlis Khatam Al-Quran bagi tahun 1446H bersamaan 2025M bertempat di Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Kampung Bebatik Kilanas, petang tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi majlis berkenaan ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.
Majlis didahului dengan penyerahan sumbangan wakaf berupa peralatan-peralatan keperluan masjid daripada Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) yang diterima oleh Ketua Imam Masjid, Awang Adee Aiman bin Haji Muhidin.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan ayat-ayat suci Al-Quran beramai-ramai yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid (Pegawai Perantis), Awang Ahmad Ghadafi bin Abdul Nasir, diikuti dengan bacaan Takhtim dan Doa Khatam. Majlis diakhiri dengan tazkirah yang disampaikan oleh Haji Abdul Rahman bin Haji Ajak dan diselajurkan dengan berbuka puasa dan solat Fardu Maghrib berjemaah.
Sementara itu, ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Batu Marang juga mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bagi para peserta tadarus baru-baru ini di Masjid Kampung Batu Marang.
Hadir selaku tetamu kehormat, Penasihat Jawatankuasa Takmir, Pengiran Dato Paduka Haji Zaini bin Pengiran Haji Kamaluddin.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid/Ketua Imam Masjid Kampung Batu Marang selaku Pengerusi Takmir, Awang Saiful Rizal bin Haji Abd Ghafar, diikuti bacaan surah-surah lazim diketuai Pengiran Haji Mohamad Samrin bin Pengiran Haji Serudin dan bacaan Takhtim oleh Imam Masjid Kampung Batu Marang, Awang Muhammad Sharine Hadiman bin Sahari.
Majlis turut diserikan dengan persembahan Dikir Marhaban oleh kumpulan dikir Kampung Batu Marang manakala Doa Selamat Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Awang Saiful Rizal.
Selain itu, kira-kira 50 orang pembaca Al-Quran lelaki dan lebih 30 orang pembaca Al-Quran wanita jemaah Masjid Haji Abdul Azim dan penduduk Kampung Luagan Dudok Tutong telah diraikan pada Majlis Khatam Al-Quran yang diteruskan dengan Majlis Membaca Tahlil dan Doa Arwah Sekampung anjuran Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Haji Abdul Azim dan MPK Kampung Luagan Dudok di masjid berkenaan, kelmarin.
Hadir di majlis berkenaan ialah Ketua Kampung Bukit Panggal dan Kampung Luagan Dudok, Awang Mohd Dandarawi bin Haji Nassar.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Imam Masjid Haji Abdul Azim, Awang Kamaruddin bin Mohd Ali.
Ceramah agama telah disampaikan oleh penceramah undangan iaitu Penolong Kaunselor Jabatan Penjara, Awang Fariszal bin Ali di mana beliau antara lain menyentuh mengenai cara menjalani ibadah puasa dengan lebih baik lagi.
Manakala 500 pelajar dari Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) juga telah diraikan pada Majlis Khatam Al-Quran bertempat di Masjid Pengiran Muda Abdul Malik, Kampung Tungku. Majlis itu disertai oleh enam buah sekolah di bawah IBTE Pusat.
Hadir selaku tetamu kehormat, Pemangku Pengetua IBTE Pusat, Awang Armi Durani bin Haji Durhman, yang juga mengepalai bacaan Surah Al-Fatihah bagi memulakan majlis dan diteruskan lagi dengan bacaan Selawat Tafrijiah oleh pelajar-pelajar dari IBTE Kampus Mekanikal.
Sementara itu, bacaan surah-surah bermula dari Surah Ad-Dhuha hingga Surah Al-Masad oleh pelajar khatam telah diketuai oleh Awang Mohammad Hamizul Hazmi bin Mohaimi dan Awang Wazif Waziniddin manakala bacaan Takhtim pula diketuai oleh guru-guru agama perempuan.
Majlis diserikan dengan Dikir Marhaban dipimpin oleh guru-guru agama lelaki yang diketuai oleh Awang Saifulbahri bin Haji Ahmad sebelum acara diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan oleh pelajar IBTE Kampus Bisnes, Awang Muhammad Danish Darwish bin Mohammad Nur Adenan.