BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Jun – Sempena bulan Ramadan yang penuh dengan kemuliaan ini, ahli jawatankuasa (AJK) bekas penuntut Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam (SM SMJA) aliran Inggeris pengambilan pertama (1975 – 1978) telah mengadakan Majlis Iftar, Tahlil dan Doa Arwah di kediaman setiausaha AJK berkenaan, Haji Sheikh Abdullah bin Haji Sheikh Yahya di Taman Datu Haji Awang Besar, Kampung Subok.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Haji Haris bin Othman yang juga selaku penasihat AJK berkenaan. Juga hadir ialah Penghulu Mukim Labu, Daerah Temburong, Haji Abdurahman bin Haji Nasir.
Majlis tersebut diselajurkan dengan penyampaian sumbangan derma kepada Tabung Derma Anak-anak Yatim Daerah Temburong yang disampaikan oleh Pengerusi AJK berkenaan, Awang Mohd Serudin bin Haji Tuah kepada Penghulu Mukim Labu.
Sumbangan derma tersebut kemudiannya akan diserahkan kepada pemangku penolong pegawai Daerah Temburong selaku pengerusi Tabung anak-anak Yatim Daerah Temburong.
Sumbangan yang merupakan hasil kutipan daripada bekas penuntut-penuntut SM SMJA itu adalah sebagai salah satu usaha dalam sama-sama memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan.
Terdahulu majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang diketuai oleh tenaga pengajar Institut Pendidikan Teknikal Brunei, Haji SaifulBahri bin Haji Ahmad, diikuti dengan bacaan Tahlil, Doa Arwah dan bacaan Doa Selamat.
Majlis tersebut juga diselajurkan dengan berbuka puasa dan solat fardu Maghrib, Isyak dan solat sunat Terawih dan Witir berjemaah.
Acara seumpama ini dihasratkan dapat dijadikan sebagai amal kebajikan untuk meraih ganjaran yang berlipat ganda di bulan Ramadan ini, di samping dapat mengeratkan lagi perpaduan dan hubungan silaturahim di kalangan bekas penuntut dan juga keluarga masing-masing.