Saturday, April 26, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Raih kejayaan dalam bidang baharu semasa pandemik

    KUALA LUMPUR – COVID-19 yang masih berlarutan menjadikan dua orang wanita ini lebih cekal dan tabah untuk menerokai bidang baharu perniagaan makanan demi kelangsungan hidup tanpa mengeluh atau menyalahkan takdir.

    Norlia Manap, 40, sebelum ini berkecimpung dalam bidang butik perkahwinan sementara Nur Dania Izzati Sedek Shah, 25, berniaga barangan kosmetik.

    Bagi Norlia, sepanjang 12 tahun mengusahakan perniagaan butik perkahwinan, pendapatan bulanannya memang lumayan, cukup untuk keperluan kehidupannya dan membayar gaji lima orang pekerjanya. Namun, segala yang diusahakannya itu gagal dipertahankan apabila Malaysia dilanda pandemik COVID-19 pada awal tahun 2020 dan masih berlarutan sehingga kini.

    Menurut Norlia, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 lagi pada Mac tahun 2020, beliau memang sudah rasa terkesan apabila majlis perkahwinan tidak dibenarkan bagi mengekang penularan COVID-19.

    Tiga bulan tidak ada pendapatan langsung dengan tanggungan gaji lima orang pekerja serta bayaran sewa butik sahaja sebanyak RM2,800.

    Nur Diana Izzati Sedek Shah bersama produk ‘Daging Harimau Menangis’. – Bernama

    Norlia Manap menjual kuih keria gula Melaka di Simpang Empat, Balik Pulau dengan dibantu oleh empat orang anaknya. – Bernama
    Norlia Manap membuat kek pada waktu malam demi meraih pendapatan diri dan keluarga. – Bernama

    “Selepas PKP 2.0, saya ada sedikit kerja seperti tatarias (make-up) pengantin kerana masih ada majlis akad nikah yang dibenarkan,jadi adalah sedikit pendapatan. Namun PKP 3.0 yang terbaru pada 1 Jun lalu, sekali lagi saya terduduk.

    “Saya buat keputusan untuk tutup terus bisnes butik pengantin dan beralih ke bidang lain, “ kata Norlia yang menetap di Balik Pulau, Pulau Pinang semasa perbualan telefon bersama Bernama baru-baru ini.

    Jual kuih keria dan kek

    Norlia yang juga ibu tunggal kepada empat orang cahaya mata lelaki berusia antara lapan hingga 19 tahun, bersyukur kerana membuat pilihan tepat untuk mengusahakan jualan kuih keria gula melaka di waktu petang hari dan malamnya membuat kek.

    Bagi memulakan perniagaan ini, beliau memohon bantuan mesin adunan daripada Ahli Parlimen Balik Pulau Muhammad Bakhtiar Wan Chik dan permohonan diluluskan.

    Rutin beliau kini membuka gerai kuih keria gula melaka setiap hari kecuali hari Isnin, dari pukul 2 petang hingga 7 malam.  Anak-anaknya turut membantu beliau berniaga di gerai yang tidak jauh dari rumahnya, terletak di Simpang Empat Balik Pulau itu. Untuk menyediakan kuih keria gula melaka ini, Norlia mempunyai empat orang pekerja yang dibayar gaji hari.

    Di samping menjual kuih keria gula melaka ini mendapat sambutan baik daripada kebanyakan, Norlia turut menerima tmpahan untuk kek marble, brownies dan cheese tart. Beliau mengikuti kelas jarak jauh pembuatan kek sejak empat tahun lepas dan keknya dijual secara dalam talian.

    Perniagaan makanan jenama sendiri

    Bagi Nur Dania Izzati atau mesra dipanggil Dania, setelah tujuh tahun berniaga barangan kosmetik kini tiba masa untuk beliau ‘bertukar arah’ dengan mengusahakan perniagaan makanan. Beliau menggunakan jenama sendiri, dalam ketika pandemik COVID-19 banyak mencetuskan kesukaran pergerakan.
    “Saya mula berniaga sejak umur 17 tahun menjual pelbagai produk kosmetik dan setelah sekian lama dalam bidang itu, saya mula terfikir untuk bertukar kepada perniagaan makanan dan minuman (F&B) dengan menjual makanan masakan Thailand.

    “Ini kerana di Perak ini masih kurang orang yang berniaga makanan negara Gajah Putih ini,“ katanya yang menetap di Ipoh Perak.

    Menurut Dania, sejak tujuh bulan lalu, beliau turut menghasilkan produk percubaannya iaitu ‘Daging Harimau Menangis’ jenama Niase dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Produk ini dipasarkan menerusi Facebook, Instagram dan Tiktok.

    “Selepas itu saya cuba mencari idea lain untuk menarik pelanggan membeli produk kami dengan mencipta resipi baharu iaitu pulut mangga berwarna warni dengan harga sebekas RM15.

    “Pulut mangga berwarna-warni atau pulut mangga meriah ini menggunakan perisa buah-buahan. Jika sebelum ini kita disajikan dengan pulut berwarna putih, saya mencipta kelainan dengan membuat pulut berwarna-warni,” katanya sambil menambah, untuk perniagaan ini, beliau mempunyai tujuh orang pekerja.

    Dalam industri F&B,  beliau cuba mencari kelainan dan baginya tiada istilah tiada pembeli kerana jika produk yang dihasilkan menarik dan berbaloi di mata pelanggan, pastinya akan ada pembeli.

    Selain daging harimau menangis, pulut mangga berwarna warni, beliau turut menghasilkan menu Khao Mok (nasi beriani Thailand) yang menggunakan lebih 15 jenis rempah, manakala berasnya adalah beras basmathi yang paling premium di samping Puding Raja dan Ayam Pandan. 

    Anak muda perlu bangkit

    Berkongsi kekuatannya dalam menghadapi liku-liku  perniagaan, Dania berkata anak muda kini perlu terus bangkit dan berusaha serta berdikari.

    “Kita tidak boleh terus mengalah dan merungut lockdown dan lockdown lagi. Sebaliknya kita yang harus berdiri dan bangkit membangunkan ekonomi sendiri. Tidak perlu hanya mengharapkan bantuan kerajaan semata-mata.

    “Jangan hanya asyik fikir ekonomi negara yang terjejas sekarang dengan krisis COVID-19 yang sedang kita hadapi. Sebaliknya fikirlah sesuatu yang kita boleh buat untuk jana pendapatan sendiri,” katanya.

    Optimis dengan peralihan bidang baharu, usahawan muda ini percaya, bidang F&B adalah satu medium perniagaan yang mampu bertahan lama dan lebih mudah diuruskan.

    “Bagi saya bidang perniagaan F&B  ini lebih mudah, kerana apa pun jadi orang tetap akan nak makan, dan pasti ada jualannya. Selain itu kerajaan juga banyak memberikan bantuan kepada usahawan dalam bidang F&B ini,” katanya.

    Longgarkan syarat kepada usahawan PKS

    Tidak dinafikan pada tempoh ini, usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menerima tempias besar sehingga memaksa mereka mencari alternatif lain untuk meneruskan kehidupan.

    Presiden Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Seberang Perai, Francis Wong berkata, memang benar peluang dan bantuan diberikan kerajaan kepada kelompok usahawan berkenaan amat luas.

    Namun, katanya, terdapat kekangan kepada peniaga apabila terlalu banyak syarat dikenakan kepada mereka ketika hendak mengemukakan sebarang permohonan pinjaman. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda